Jalan berlubang, rosak ancam keselamatan Orang Asli

Jalan berlubang, rosak ancam keselamatan Orang Asli

PENDUDUK menunjukkan struktur jalan yang rosak di Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 400 penduduk Orang Asli di Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini, terdedah dengan risiko ke­selamatan apabila jalan perhubungan ke kampung mereka rosak dan berlubang sejak dua tahun lalu.

Dakwa mereka, penggunaan trak pikap untuk tujuan memunggah sayur-sayuran oleh pekebun menjadi antara pe­nyumbang kepada kerosakan jalan tersebut.

Penghulu Kampung Mendrod, Alang Busu berkata, masalah itu menjejaskan urusan harian penduduk termasuk untuk keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Kami sebagai orang kampung tidak mempunyai kemampuan atau peralatan untuk membaiki jalan yang rosak ini.

“Diharap pihak syarikat yang mempunyai kebun di kawasan ini dapat ambil tindakan membaik pulih kerana mereka kerap menggunakan jalan kampung ini. Jalan ini bukan sahaja laluan utama penduduk tetapi agensi kerajaan lain turut masuk untuk melakukan urusan bersama orang kampung,” katanya ketika ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Rama Ajom, 45, berkata, jalan menuju ke Kampung Mendrod yang rosak itu sempit dan berbahaya sekiranya kenderaan berselisih.

Katanya, penduduk kampung berharap pihak berwajib dapat menaik taraf jalan itu demi ke­selamatan penduduk kampung.

“Jalan itu penting untuk penduduk kampung keluar dan masuk ke kampung ini. Kami menggunakan jalan itu untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Brooke dan ahli keluarga yang sakit ke hospital.

“Kami berharap tindakan dapat diambil dan kerosakan jalan dapat dibaiki bagi mengelakkan gangguan serta mengancam keselamatan pengguna,” kata­nya.

Sementara itu, jurucakap Pe­jabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing berkata, Jalan Kampung Mendrod akan didaftarkan sebagai jalan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris)

Katanya, selepas mendapat kelulusan dan peruntukan, Jalan Kampung Mendrod akan dinaik taraf demi keselesaan serta keselamatan penduduk kampung.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN