PONTIAN: Seorang guru dari Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) mencipta sejarah apabila meraih pencapaian Emas pada pertandingan International Language And Education Innovation Competition 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak, baru-baru ini.
Guru tersebut, Abdul Shahrul Azraf Abdul Aziz, 28, menampilkan inovasi bagi memudahkan pelajar-pelajar memahami mata pelajaran tajwid, faraid dan ibadat dengan lebih mudah cepat.
Kata guru Sekolah Agama Seri Bahagian Benut itu, inovasi tersebut yang dinamakan HBC Station atau Huruf, Bacaan, Contoh, Networking juga turut meraih Emas pada pertandingan Inovasi peringkat antarabangsa tahun lalu.
“Saya merupakan satu-satunya peserta daripada guru agama di mana semua peserta lain mempersembahkan inovasi subjek seperti biologi, fizik, kimia dan sains.
“Saya bersaing dengan guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan dengan 100 inovasi telah dipertandingkan termasuk peserta dari negara-negara ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas majlis penghargaan oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut di Surau Al Huda Kampung Puteri Menangis, di sini semalam.
Tambah Abdul Shahrul Azraf, dia tidak menyangka mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.
“Saya gembira menjadi pemudah cara kepada murid-murid sekolah agama bagi membolehkan mereka lebih seronok dan gembira mengikuti pembelajaran setiap hari,” ujarnya.
Dia yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia Skudai berkata, inovasi itu juga dapat membantu rakan-rakan gurunya.
“Rumusan daripada inovasi dapat menyelesaikan kekeliruan huruf setiap hukum Nun mati dan Tanwin bagi mata pelajaran Tajwid serta masalah yang ada bagi mata pelajaran faraid dan ibadah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berharap kejayaan dicapai oleh Abdul Shahrul Azraf dapat menjadi contoh kepada guru-guru agama yang lain bagi mencipta lebih banyak inovasi dalam bidang pendidikan agama.
Katanya, dengan adanya inovasi baharu seperti itu akan dapat menjadi alat bantu mengajar yang lebih menarik kepada murid-murid untuk belajar melalui kaedah seperti permainan.
Oleh itu, beliau meminta guru-guru agama tidak ketinggalan untuk menguasai bidang teknologi maklumat (IT) bagi membantu memudahkan pengajaran mereka kepada murid-murid di sekolah masing-masing.-UTUSAN.