BESUT: Seorang nelayan dari Kampung Benting Lintang di sini, hilang sumber pendapatan selepas diuji dengan penyakit kanser muka sejak dua tahun lalu.
Ekoran penyakitnya itu juga, Muhamad Faizol Abdullah, 38, yang berasa segan melihat pandangan orang ramai terhadapnya, rela keluar rumah dalam keadaan ‘bertopeng’ ketika mendapatkan rawatan di hospital mahupun ketika berada di sekitar kediamannya.
Pemuda itu berkata, dia disahkan menghidap kanser wajah atau right cheek rhabdomyosarcoma tahap empat setelah menjalani rawatan ekoran terdapat ketumbuhan kecil pada bahagian kanan di tepi hidung.
“Dahulu rutin saya setiap hari turun ke laut mencari rezeki untuk menyara keluarga tetapi sejak kebelakangan ini, keadaan kesihatan semakin merosot sehingga saya tidak lagi mampu membuat kerja-kerja menangkap ikan dan kerja berat.
“Tambahan, setiap hari bengkak di bahagian muka semakin membesar sehingga menyebabkan bahagian hidung, mulut dan mata sebelah kanan terjejas teruk. Boleh dikatakan wajah saya berubah sepenuhnya,” katanya ketika ditemui rumahnya, semalam.
Kata bapa kepada empat cahaya mata itu, kesukaran makan dan kehilangan selera membuatkan badannya yang dulu ‘tegap’ iaitu daripada 80 kilogram (kg) susut sehingga 58 kg.
Menurutnya, ketika ini dia menjalankan rawatan kemoterapi dan rawatan susulan di empat hospital iaitu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian; Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, Hospital Setiu dan Hospital Besut.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN bernombor 1111841000061092 atas nama Muhamad Faizol Abdullah.-UTUSAN.