Draf pindaan Akta Penjara bakal dibentang di Parlimen tahun ini

Draf pindaan Akta Penjara bakal dibentang di Parlimen tahun ini

SAIFUDDIN Nasution Ismail (kanan) bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib (dua dari kanan) pada majlis sambutan Hari Penjara ke-235 tahun di George Town, Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Draf berkaitan pindaan Akta Penjara kini berada di peringkat semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum ia dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah pindaan akta itu akan membuka jalan kepada pelaksanaan kaedah tahanan rumah sebagai alternatif kepada penahanan dalam penjara, khususnya bagi pesalah yang sedang dalam tahanan reman dan bukan atas kesalahan berat.

“Kita bentang (di Parlimen) tahun ini (draf pindaan Akta Penjara). Dari segi Kabinet, peringkat dasar sudah lulus. Ia sekarang di peringkat Jabatan Peguam Negara yang sedang bangunkan matrik pindaan,” katanya katanya dalam sidang akhbar menghadiri majlis sambutan Hari Penjara ke-235 tahun.

Menurut Saifuddin, pindaan Akta Penjara yang baharu ini akan menjadi asas perundangan bagi pelaksanaan tahanan rumah yang lebih manusiawi serta mampu mengurangkan kesesakan penjara dan tekanan terhadap fasiliti yang kini sudah uzur dan usang di beberapa lokasi.

“Dalam penjara sekarang kita ada 81,000 banduan dan 27,000 daripada jumlah itu adalah tahanan reman.

“Jadi, kalau kita boleh tapis dan sasarkan mereka yang terlibat dalam kesalahan ringan, maka, mereka boleh menjalani tahanan di rumah dengan memakai peranti pemantauan sepanjang tempoh perbicaraan,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan turut merancang meminda Akta Perintah Kehadiran Wajib bagi membolehkan perluasan skop hukuman ringan sehingga 10 tahun penjara, berbanding had sedia ada tiga hingga empat tahun sahaja.

“Kami di KDN sentiasa berpandukan dasar berasaskan data. Kami tahu siapa yang ditahan, kes apa dan boleh tapis mereka yang layak untuk keluar melalui Perintah Kehadiran Wajib atau program komuniti,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, inisiatif Step Up yang disokong melalui kerjasama dengan sektor swasta untuk mengambil prospek (banduan) dalam program reintegrasi pekerjaan turut mendapat sambutan yang baik.

“Kini, lebih 1,225 syarikat telah mengambil bahagian. Ada yang ambil 10, 30, hingga 100 prospek kami untuk bekerja. Mereka tidak perlu bayar levi atau visa, malah prospek ini boleh menyumbang semula kepada keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, terdapat enam penjara yang dikenal pasti dalam keadaan uzur termasuk di Taiping dan Seremban.

“Kita perlu bangunkan penjara baharu tetapi kita kena tunggu peruntukan Kementerian Kewangan, atau ia dilakukan melalui model penswastaan termasuk konsep ‘land swap’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN