Disiplin bentuk nilai positif, jadi asas kejayaan: Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Disiplin bentuk nilai positif, jadi asas kejayaan: Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) beramah mesra bersama pelajar SMK Mata Ayer, Arau, Perlis, bersempena Program Titian Kasih Mega 2025 Peringkat sekolah itu. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Disiplin menjadi asas kejayaan seseorang individu selain turut membentuk pelbagai nilai-nilai positif dalam kehidupan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara nilai positif yang dibentuk menerusi penerapan disiplin adalah seperti aspek integriti, ketepatan masa, kerajinan, kepatuhan arahan, tanggungjawab, keberanian dalam tindakan serta sikap tawakal setelah berusaha.

“Individu yang berjaya adalah mereka yang memiliki disiplin diri tinggi dan keupayaan untuk mengawal diri dalam mematuhi peraturan ditetapkan,” titah baginda sewaktu berkenan berangkat menyempurnakan Program Titian Kasih Mega 2025 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer, di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua SMK Mata Ayer, Nor Haziani Mustaffa .

Program itu merupakan anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri melibatkan seramai 244 pelajar tingkatan satu hingga tiga.

Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan Mata Ayer School Achievers Gallery yang merupakan ruangan khas menghimpunkan kejayaan murid dan guru sekolah itu dengan mempamerkan pelbagai anugerah seperti pingat, piala, serta pencapaian aspirasi dalam bentuk gambar dan koleksi kenangan.

Sementara itu, Nor Haziani berkata, pendekatan Mata Ayer Secondary School in Science, Technology, Engineering, Arts and Mathematics (MASS STEAM) bagi tempoh 2024–2028 menjadi pemangkin dalam melahirkan pelajar holistik, berilmu dan bersahsiah tinggi.

‘Pendekatan itu menekankan keseimbangan antara akademik dan pembangunan sahsiah melalui integrasi elemen STEAM dalam pembelajaran. Keberkesanan pendekatan ini dibuktikan dengan pencapaian cemerlang termasuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang mencatatkan 95.45 peratus lulus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 5.76 hasil komitmen tinggi guru dan pelajar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN