BEIJING: Kerajaan China mengingatkan pegawai di seluruh negara untuk mengurangkan pembaziran perbelanjaan berkaitan perjalanan, makanan dan ruang pejabat, selaras usaha Presiden Xi Jinping melaksanakan langkah berjimat dalam fasa pemulihan ekonomi.
Notis yang dikeluarkan kerajaan dan Parti Komunis memerintah itu turut merangkumi perbelanjaan untuk majlis sambutan, alkohol dan arak, menurut agensi berita Xinhua.
Peraturan baharu itu merupakan penegasan semula terhadap kempen Jinping yang menyeru pegawai untuk mengurangkan perbelanjaan, ketika hasil jualan tanah merosot dan bajet kerajaan tempatan semakin tertekan akibat beban hutang yang besar.
Pada akhir 2023, kerajaan pusat memberitahu pegawai supaya membiasakan diri dengan kehidupan berjimat-cermat, mesej yang mengukuhkan lagi kempen Jinping untuk membanteras rasuah serta mempamerkan kemewahan.
Tahun lalu, Beijing melancarkan usaha terbesar dalam beberapa tahun untuk menangani risiko daripada hutang pihak berkuasa tempatan, langkah yang bertujuan mengurangkan risiko kegagalan bayaran balik dan memberi ruang kepada kerajaan tempatan menyokong pertumbuhan ekonomi.- BLOOMBERG










