Bung Moktar, Zizie Izette kekal bela diri

Bung Moktar, Zizie Izette kekal bela diri

BUNG Mokhtar Radin dan Zizie Izette perlu memberikan keterangan membela diri atas pertuduhan rasuah dihadapi mereka pada prosiding yang ditetapkan bermula Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menolak permohonan Ahli Parlimen Kinabata­ngan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menyemak semula keputusan yang memerintahkan mereka untuk membela diri atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati mereka gagal meme­nuhi ambang keperluan (threshold requirement) bagi memboleh­kan semakan dibuat.

Dengan keputusan itu, Bung Moktar dan Zizie Izette perlu memberikan keterangan bela diri pada prosiding yang ditetapkan bermula Ogos ini.

Pada 18 November 2024, Mahkamah Rayuan memerintahkan kedua-duanya untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pendakwaan memfailkan ra­yuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 September 2023 yang membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette daripada kesemua pertuduhan itu.

Pada 2 September 2022, Hakim Rozina Ayob telah memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

“Kami (mahkamah), dalam melaksanakan kuasa untuk menyemak perlu berhati kerana ia bertentangan dengan prinsip muktamad (finality). Kuasa mahkamah untuk menyemak hanya boleh dilakukan dalam kes-kes luar biasa. Perlu ditunjukkan bahawa telah berlakunya ketidakadilan yang ketara dan pemohon tidak mempunyai sebarang alternatif.

“Dalam pemerhatian kami, pemohon (Bung Moktar dan Zizie Izette) masih mempunyai alternatif kerana isu yang ditimbulkan di hadapan kami masih boleh dikemukakan pada peringkat rayuan sekiranya Mahkamah Sesyen memutuskan untuk mensabitkan mereka.

“Atas alasan ini, kami berpandangan bahawa ambang keperluan (threshold requirements) untuk menyemak semula keputusan terdahulu tidak dipenuhi. Oleh itu, permohonan ditolak,” kata Hakim Che Ruzima ketika membaca penghakiman ringkas sebulat suara panel itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perun­ding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu, Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×