KUALA LANGAT: Pemimpin belia Malaysia dilihat mampu menggalas tugas memimpin negara apabila mengenal pasti kepelbagaian masyarakat dan penyelesaian masalah mengikut keperluan setiap etnik atau budaya.
Pengerusi Ahli Parlimen Belia ASEAN (YPA) Perhimpunan Antara Ahli Parlimen ASEAN (AIPA), Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, kemampuan mereka dilihat dari segi kebolehan mengenal pasti dan menyelesaikan masalah berdasarkan konteks tiga perkara utama yang dibincangkan menerusi Mesyuarat Konsulatif YPA Ke-2, semalam.
Menurutnya, menerusi perbincangan semalam, hari ini mereka melalui sendiri proses pelaksanaan dan penyelesaian masalah di lapangan dekat Kampung Orang Asli Pulau Kempas yang dapatannya akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN 26 dan 27 Mei ini.
“Sebagai contoh topik teknologi makanan, isu yang dibincangkan adalah berkaitan keselamatan dan keterjaminan makanan. Sebelum pergi kepada konteks lebih besar, boleh tengok dahulu bagaimana penyelesaian isu tersebut di peringkat kampung atau penempatan populasi kecil.
“Di sini, penduduk Orang Asli suku Temuan seramai kira-kira 374 orang mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran. Sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pengguna lain. Itu penyelesaian kepada keterjaminan makanan untuk kampung itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, pada Lawatan Pengenalan YPA AIPA, hari ini.
Tambahnya, seramai 47 delegasi menyertai lawatan tersebut akan membuka ruang kepada pendedahan kepada masalah dan penyelesaiannya mengikut keperluan dalam sesuatu negara yang berbeza-beza.
Jelas Mohd. Shahar, bermula September ini, beliau akan mengetuai delegasi negara ini untuk mengadakan lawatan ke negara-negara serantau bagi membandingkan hasil dapatan penyelesaian masalah sama ada sesuai digunakan di sana atau memerlukan kaedah berbeza.
“Saya akan pergi ke negara-negara ASEAN pada September atau Oktober untuk melihat masalah dan penyelesaian di sana. Pemimpin belia perlu tahu setiap negara itu berbeza.
“Ada yang sudah pun mempunyai kaedah penyelesaian keterjaminan makanan berkesan, ada yang masih di peringkat perancangan atau mungkin belum melakukan sebarang tindakan. Namun, setiap negara mempunyai kaedah pertanian berbeza untuk pengeluaran makanan,” ujarnya.
Kata Ahli Parlimen Paya Besar itu, sebagai contoh di Kampung Orang Asli Pulau Kempas, kaedah pertanian di sini mempunyai ruang untuk dikembangkan menerusi digitalisasi dan penerapan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan pengurusan serta meningkatkan hasil.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Mesyuarat Konsulatif YPA Ke-2 membincangkan tiga perkara utama iaitu tenaga boleh guna, teknologi makanan dan AI sebagai agenda kemajuan negara untuk disyorkan resolusinya kepada pemimpin negara masing-masing. – UTUSAN