Polis siasat mesej ugutan diterima isteri Mohd. Rafizi

Polis siasat mesej ugutan diterima isteri Mohd. Rafizi

Mesej ugutan
SHAZELI KAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis memulakan siasatan terhadap ancaman yang diterima oleh isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli menerusi dua mesej dalam aplikasi WhatsApp dari nombor yang tidak dikenali pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun Rafizi diminta untuk membuat laporan supaya tindakan rasmi dan siasatan lanjut oleh polis dapat dilakukan berdasarkan maklumat-maklumat yang diberikan.

“Setakat sehingga petang ini, belum lagi laporan dibuat. Mungkin selepas ini akan ada laporan seterusnya. Polis akan menyiasat pemilik nombor telefon terbabit.

“Sebarang perkembangan terkini kita akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mohd. Rafizi memberitahu yang keluarganya menerima mesej ugutan daripada pihak yang tidak dikenali selepas anaknya diserang, semalam.

Menurutnya, mesej tersebut diterima sebanyak dua kali daripada nombor yang sama melalui WhatsApp yang berbunyi, ‘Diam, kalau tidak Aids’, pertama kali pada jam 1.12 pagi tadi, sementara mesej yang kedua pada 11.02 pagi tadi dengan ayat yang sama dengan tambahan gambar ikon picagari.

Dalam perkembangan berhubung insiden suntikan terhadap anaknya, Shazeli memberitahu polis sedang menyiasat untuk mengenal pasti jika suspek masih berada di negara ini.

Menurutnya, namun identiti suspek belum dapat dikenal pasti kerana suspek menggunakan topi keledar dan wajahnya terlindung dengan cermin visor.

“Belum dapat ditentukan (kedudukan suspek berada di dalam atau luar negara). Kita melihat dari sudut pelbagai aspek sebab belum ditentukan siapa suspek.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek memakai topi keledar dan menutup visor. Jadi macam mana kita hendak dapat iras muka, melainkan kalau ada maklumat tambahan baharu, insya-Allah kita akan usahakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN