WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan ujian darah pertama untuk Alzheimer, yang boleh membantu pesakit memulakan rawatan lebih awal dengan ubat-ubatan baharu memperlahankan perkembangan penyakit itu.
Ujian, yang dibangunkan oleh Fujirebio Diagnostics, mengukur nisbah dua protein dalam darah.
Nisbah itu berkait rapat dengan plak amiloid dalam otak, ciri utama penyakit Alzheimer yang sebelum ini hanya dapat dikesan melalui imbasan otak atau analisis cecair tulang belakang.
Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), Marty Makary berkata, penyakit Alzheimer memberi kesan kepada sejumlah besar individu, melebihi gabungan pesakit kanser payudara dan kanser prostat.
“Mengetahui bahawa 10 peratus individu berumur 65 tahun ke atas menghidap Alzheimer, dan menjelang 2050 jumlah itu dijangka berganda, saya berharap produk perubatan baharu seperti ini akan membantu pesakit,” katanya.
Pada masa ini, terdapat dua rawatan yang diluluskan oleh FDA untuk Alzheimer, lecanemab dan donanemab, yang menyasarkan plak amiloid dan terbukti dapat memperlahankan penurunan kognitif secara sederhana walaupun tidak menyembuhkan penyakit tersebut.
Penyokong terapi antibodi melalui intravena, termasuk ramai pakar neurologi berkata, rawatan itu boleh memberi pesakit beberapa bulan tambahan untuk hidup berdikari, dan kemungkinan lebih berkesan jika dimulakan lebih awal.
Dalam kajian klinikal, ujian itu menunjukkan keputusan yang hampir sama dengan imbasan otak emisi positron (PET) dan analisis cecair tulang belakang.
Ujian itu dibenarkan untuk diguna dalam tetapan klinikal bagi pesakit yang menunjukkan tanda-tanda kemerosotan kognitif, dan keputusan ujian mesti ditafsir bersama maklumat klinikal lain.
Penyakit Alzheimer adalah bentuk demensia paling biasa, namun boleh bertambah buruk dari masa ke masa, dengan beransur-ansur menyebabkan pesakit hilang ingatan dan keupayaan untuk berdikari.– AFP










