LANGKAWI: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan keprihatinan baginda terhadap anggota keselamatan di negara ini yang berdepan pelbagai ancaman khususnya dalam melaksanakan penugasan di kawasan sempadan.
Baginda bertitah, ancaman sindiket jenayah seperti serangan fizikal, ugutan dan cubaan rasuah adalah antara cabaran utama dihadapi anggota keselamatan di negara ini.
Titah baginda, dalam masa sama, anggota keselamatan turut terdedah kepada risiko serangan oleh kumpulan bersenjata, pengganas, pencerobohan dan serangan hendap.
“Sempadan Malaysia-Thailand merupakan garis pemisah penting yang merangkumi kawasan darat dan laut sejauh kira-kira 595 kilometer, dari Perlis hingga ke Kelantan.
“Sempadan ini menjadi nadi kepada pelbagai aktiviti pelancongan, perdagangan dan pergerakan tenaga kerja melibatkan negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan,” titah baginda selepas berkenan berangkat melawat kapal perang RFS Rezkiy (343) milik Rusia yang berlabuh di Resort World Langkawi (RWL) besempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’25).
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Laut Rusia, Laksamana Vladimir Vorobyov dan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, anggota keselamatan juga berhadapan dengan tekanan fizikal dan mental akibat penyakit berjangkit, keletihan melampau serta cabaran cuaca ekstrem.
“Keberanian dan komitmen anggota keselamatan amat dihargai dan perlu sentiasa disokong oleh seluruh rakyat Malaysia demi menjaga kedaulatan serta keselamatan tanah air tercinta,” titah baginda.-UTUSAN