PETALING JAYA: Kolumnis Mingguan Malaysia yang juga pendakwah terkenal, Ahmad Fauwaz Fadzil, 44, dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuatkuasa 23 Mei lalu.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pelantikan itu katanya, mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepemimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Ahmad Fauwaz dalam mengemudi institusi fatwa dengan penuh integriti dan hikmah.
“Sahibus Samahah merupakan seorang tokoh ilmuwan Islam yang prolifik dalam bidang perundangan Islam, pendidikan, kewangan Islam, dakwah dan penyelidikan.
“Saya yakin dan percaya beliau akan memperkukuhkan lagi peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai institusi autoritatif yang menjadi rujukan umat Islam di Malaysia.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan dan semoga Allah SWT memberkati pelantikan ini dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah ini dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad Fauwaz yang merupakan anak bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, berkelulusan Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir (2000-2004) dan menyempurnakan pengajian Sijil Profesional Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (2005-2008).
Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya (2017) dan pensijilan antarabangsa seperti Certified Shariah Advisor and Auditor (CSAA) oleh The Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI)
Beliau aktif menyumbang dalam pelbagai institusi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), institusi kewangan dan akademik.
Kepakaran beliau dalam bidang usul fiqh, fiqh muamalat, fiqh perubatan serta kefahaman fiqh kontemporari amat diperlukan dalam membentuk dasar-dasar hukum Islam yang seimbang, berlandaskan maqasid syariah dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Sebagai ilmuwan yang sering muncul dalam media dan forum ilmiah, beliau dikenali sebagai tokoh yang mampu menjelaskan isu-isu keagamaan semasa secara tuntas, inklusif dan bersifat mendidik.
Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini ialah Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah yang menggalas jawatan itu sejak 2020.-UTUSAN.