23,149 rumah tidak terjual

23,149 rumah tidak terjual

RUMAH ber­harga RM200,000 hingga RM300,000 paling ting­gi tidak terjual melibatkan seba­nyak 5,374 unit. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 23,149 unit kediaman pelbagai kategori yang siap dibina bernilai RM13.94 bilion masih tidak terjual sehingga akhir tahun 2024.

Kondominium dan apartmen membentuk 60.5 peratus daripada jumlah kediaman siap dibina tidak terjual menjadikannya jenis rumah yang tertinggi tidak terjual.

Rumah teres dua tingkat pula mencatatkan 13.8 peratus daripada jumlah keseluruhan unit tidak terjual sepanjang tempoh sama.

Dari segi harga pula, rumah ber­harga RM200,000 hingga RM300,000 paling ting­gi tidak terjual melibatkan seba­nyak 5,374 unit, diikuti kediaman berharga RM300,000 hingga RM400,000 (3,863 unit) dan kediaman bernilai RM500,000 hingga RM600,000 (2,902 unit).

Sementara rumah yang berharga di bawah RM100,000 me­nyaksikan hanya 789 unit tidak terjual manakala rumah RM100,000 hingga RM200,000 pula sejumlah 1,461 unit.

Mengikut Laporan Status Har­ta Tanah Negara (NAPIC) 2024, daripada 23,149 unit itu, Kuala Lumpur mencatat kediaman paling banyak tidak terjual iaitu 4,234 unit, diikuti Johor (2,964 unit), Perak (2,844 unit) dan Pulau Pinang (2,796 unit).

Negeri lain ialah Sela­ngor (2,075 unit) dan Negeri Sembilan (1,623 unit), Sabah sebanyak 1,524 unit, Sarawak (1,512 unit), Pahang (1,267 unit), Kedah (701 unit), Melaka (605 unit), Kelantan (393 unit), Putrajaya (352 unit), Terengganu (173 unit), Perlis (45 unit) dan Labuan sebanyak 41 unit tidak terjual.

Menurut laporan itu, jurang ketara antara hartanah jenis apartmen dan teres dua tingkat menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi penawaran dan permintaan semasa terhadap kedua-dua kategori.

Bekas Ketua Pengarah, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Prof. Mohd. Khairudin Abd. Halim berkata, fenomena rumah tidak terjual ini sepatutnya menjadi fokus utama kerajaan dalam merangka dasar perumahan lebih berkesan.

Katanya, ia khususnya bagi membantu golongan muda memiliki rumah pertama dan pada masa sama menyelesaikan isu lambakan hartanah tidak terjual.

“Lambakan rumah ini sebenarnya boleh menjadi peluang kepada orang muda, jika dibimbing dengan sokongan dasar yang betul.

“Mereka perlu digalakkan membeli rumah sebaik sahaja mula bekerja kerana harta tanah bersifat kekal, tidak seperti aset lain yang akan menyusut nilai dan kerajaan perlu beri keutamaan kepada usaha ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembangunan projek perumahan rakyat harus menjadi keutamaan utama kerajaan, khususnya di ibu kota berbanding pembinaan bangunan pencakar langit yang bersifat simbolik.

Katanya, beliau tidak kisah jika sepanjang era pentadbirannya tiada bangunan pencakar langit baharu dibina, asalkan keperluan rakyat terbanyak dalam memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik dapat dipenuhi secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairudin berkata, kerajaan sepatutnya memainkan peranan lebih aktif dalam menggalakkan institusi kewangan dengan menawarkan kemudahan yang lebih mesra pembeli, khususnya kepada golongan muda dan pembeli rumah kali pertama.

“Bank dan institusi kewangan perlu digalakkan menyediakan inisiatif yang sesuai seperti kadar keuntungan rendah dan tempoh pinjaman lebih panjang, supaya komitmen bulanan tidak terlalu membebankan pembeli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN