PETALING JAYA: Punca kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin adalah akibat dijerut dengan kuat berkemungkinan dengan menggunakan tali, lanyard atau kain yang dipintal.
Turut ditemukan pada tubuh kanak-kanak malang itu ialah lebih 20 kecederaan akibat objek tumpul dan tajam termasuk kesan luka koyakan di bahagian dubur akibat objek tumpul.
Perkara itu didedahkan oleh Pakar Perunding Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Dr. Rohayu Shahar Adnan ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
“Jerutan di leher yang melebamkan otot leher dan kelenjar tiroid menunjukkan ianya cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak yang melemaskan si mati, mengakibatkan kematian.

“Dengan ini, saya simpulkan sebab (punca) kematian sebagai Ligature Strangulation (jerutan),” katanya yang sebelum ini bertugas di Hospital Sungai Buloh ketika bedah siasat itu dilakukan,” katanya.
Tambah saksi itu, berdasarkan kesan lebam pada otot leher dan kelenjar tiroid yang menunjukkan bahawa jerutan itu dibuat dengan kuat.
Selain itu, antara kecederaan yang ditemukan pada tubuh Zayn Rayyan ialah lebam pada beberapa bahagian kepala seperti dahi, belakang kepala, rahang serta bahagian badan seperti bahu, belakang badan, dada dan abdomen.
Terdapat juga beberapa luka daripada benda tajam seperti luka potongan pada telinga, luka tikaman, luka hirisan di belakang telinga dan kepala serta kedua lengan.
Turut didedahkan penemuan benda asing pada rongga pernafasan belah kanan dan dalam perut Zayn Rayyan termasuk kesan lebam pada lelangit dipercayai kesan memasukkan benda asing secara paksa selain luka koyak di bahagian dubur akibat objek tumpul.
“Kesan trauma tajam di bahagian telinga si mati dari bahagian luar telinga sehingga menembusi tulang rawan telinga depan dan belakang, ia bersesuaian dengan kesan potongan daripada objek seperti gunting.
“Pada bahagian yang menunjukkan luka hirisan, ia bersesuaian dengan objek yang mempunyai bilah tajam seperti pisau,” katanya.
Sementara itu, Dr. Rohayu turut menyatakan, Zayn Rayyan dianggarkan telah menemui ajalnya di antara 24 ke 48 jam namun tidak melebihi tujuh hari.
Jangka masa kematian dianggarkan pada julat bermula 30 November hingga 5 Disember 2023, berdasarkan tarikh mayat dibedah siasat iaitu pada 7 Disember 2023, pukul 12 tengah hari.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin ketika pemeriksaan utama, saksi pendakwaan ke-27 itu itu menjelaskan terdapat perbezaan di antara kesan jeruan akibat digantung dan jerutan di leher.
“Dari segi perubatan forensik, ada perbezaan di antara jerutan dan digantung. (Dalam kes ini) terdapat kesan jerutan dan kedudukan tersebut adalah sama iaitu enam sentimeter (cm) di bawah telinga kiri dan kanan dan kesan ini adalah horizontal (mendatar).
“Jerutan terhasil oleh sebarang benda yang boleh dibentuk seperti tali, lanyard atau kain yang dipintal. Bagi jerutan, ia menggunakan external force (tenaga luar) menyebabkan wujud lebam-lebam di keliling leher.
“Berbeza dengan gantung, kesannya adalah oblique (serong) dan tiada lebam pada otot leher kerana gantung adalah proses pasif maknanya sepanjang objek yang dibentuk dikeliling leher akan diketatkan oleh berat badan si mati dan tarikan graviti,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung hari ini. – UTUSAN










