WTE Arang Batu tidak berisiko kebakaran seperti Putra Heights

WTE Arang Batu tidak berisiko kebakaran seperti Putra Heights

WTE Arang Batu
SELAIN WTE Arang Batu, Selangor turut membina sebuah loji insinerator bagi pelupusan sampah di Jeram yang dilancarkan pada Oktober 2023 di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembinaan loji insinerator pelupusan sampah kepada tenaga atau Waste-to-Energy (WTE) yang dicadang untuk dibina di Batu Arang, Rawang tidak akan mencetuskan kebakaran besar seperti didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, pembinaan di kawasan yang dikatakan bekas tapak lombong arang batu di kawasan berkenaan dan mudah terbakar adalah bersifat spekulatif apabila tiada penilaian geoteknikal yang menunjukkan kewujudan lapisan arang batu aktif.

Pengarah Urusan, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd. Tahir berkata, sejarah perlombongan arang batu di kawasan tersebut menyebabkan kekurangan rizab komoditi itu yang boleh dicapai.

“Sehingga kini tiada penilaian geoteknikal yang disahkan menunjukkan kewujudan lapisan arang aktif atau mudah terbakar di lokasi cadangan projek.

“Lokasi projek dipilih berdasarkan penyiasatan tapak secara profesional, profil tanah serta tinjauan geofizikal selaras piawaian antarabangsa dalam kejuruteraan awam dan geoteknikal. Dakwaan yang bertentangan tidak berasaskan fakta geologi semasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian menjawab pandangan awam termasuk yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen apabila mendakwa pembinaan insinerator di kawasan berkenaan boleh mencetuskan kebakaran seperti di Putra Heights.

Mohd. Ramli sebaliknya menjelaskan, sebarang pandangan dikemukakan mengenai risiko pembinaan sedemikian seharusnya bersandarkan kepada prinsip kejuruteraan, fakta-fakta saintifik lain dan proses perundangan yang sewajarnya.

“Letupan saluran paip gas di Putra Heights merupakan insiden tragik melibatkan pelepasan gas bertekanan tinggi dalam persekitaran yang tidak terkawal. Membuat perbandingan antara insiden ini dan fasiliti WTE yang dicadangkan, dikawal sepenuhnya, menunjukkan salah faham yang asas terhadap sistem tenaga.

“Loji WTE yang dicadangkan akan beroperasi dalam persekitaran pembakaran tertutup dan direka bentuk secara kejuruteraan yang mematuhi prinsip termodinamik dan amalan terbaik antarabangsa.

“Tidak seperti saluran paip gas, ruang pembakaran WTE direka bentuk untuk mengawal dan mengatur aliran haba, tekanan dan pelepasan melalui protokol pemantauan serta keselamatan yang canggih,” jelasnya.

Beliau menambah, KDEBWM memberi jaminan dan komitmen untuk memastikan keselamatan, ketelusan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar berhubung pembinaan WTE di kawasan berkenaan.

“Jika Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Alam Sekitar, selepas meneliti penilaian impak alam sekitar (EIA) terperinci, memutuskan projek itu tidak wajar diteruskan, kami akan mematuhi sepenuhnya keputusan tersebut. Sehingga itu, kami menyeru semua pihak agar menegakkan integriti proses regulatori dan tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas.

“Kami mengalu-alukan dialog membina, maklum balas awam dan semakan pakar. Yang kami tidak dapat terima adalah pemalsuan maklumat yang menimbulkan ketakutan dan kekeliruan tanpa asas saintifik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN