Utamakan rumah rakyat

Utamakan rumah rakyat

ANWAR Ibrahim melihat model rumah mampu milik pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, PPR Batu Muda, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri An­war Ibrahim mahu pembangunan projek perumahan rakyat di seluruh negara khususnya di ibu kota diutamakan berban­ding pembangunan pencakar la­ngit.

Perdana Menteri berkata, be­­­­liau tidak peduli jika ketika era pentadbirannya tiada ba­ngu­­­­­­nan pencakar langit diba­ngun­kan, sebaliknya mahu pe­­­­­­­ru­­­­­­mahan rakyat terbanyak di­­­­­­da­­­­hu­lukan.

Sepanjang lebih dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani, sebanyak 468,000 rumah mampu milik telah dibina, diluluskan atau mendapat kebenaran merancang.

Jumlah itu terus meningkat dan dijangka mencapai sasaran 500,000 hujung tahun ini apabila dua lagi projek perumahan rakyat mampu milik mega akan diumumkan oleh kerajaan di Pulau Pinang dan Bandar Malaysia Madani.

Justeru, Perdana Menteri mahu setiap bulan mesti ada projek besar perumahan mampu milik dilaksanakan bagi memenuhi permintaan rakyat terbanyak.

“Setiap bulan mesti ada projek besar perumahan yang saya minta diselaraskan oleh Nga Kor Ming (Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan) melalui KPKT sama ada di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ku­ching mahu pun Kota Kinabalu, dinaikkan.

“Kemudian dari semasa ke semasa, Datuk Bandar mesti memberi kelulusan cepat, mesti cekap dan pada masa sama penguatkuasa mesti bersih da­ripada korupsi,” katanya di Maj­lis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di sini, semalam.

Rumah mampu milik de­ngan nama Starloft Residence membabitkan pembinaan tiga blok 39 tingkat dengan 1,996 unit.

Setiap unit seluas 820 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, serta fasiliti bertaraf kondominium selain sebuah masjid serta 10,000 kaki persegi gerai.

Perdana Menteri berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengendalikan projek perumahan, penekanan harus diberikan kepada rakyat terbanyak yang masih menunggu kediaman munasabah dan mampu milik.

Katanya, dasar Kerajaan­ Madani tidak pernah meng­halang mana-mana projek syarikat swasta, pada masa sama masih mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan.

“Tanggungjawab kerajaan dalam mengendalikan projek-projek (perumahan mampu milik) mesti diberi penekanan kerana jumlah (rakyat) yang menunggu memiliki rumah (dengan harga) munasabah mampu milik yang memenuhi selera dan kepentingan mereka sangat ramai.

“Dasar Kerajaan Madani tidak menghalang mana-mana projek swasta, kerja kita ha­nyalah percepatan (prosesnya) siapa mampu dia belilah.

“Tetapi harus ada dasar jelas di kalangan pemerintah dan penjawat awam untuk memberi penekanan dalam hal ini, buat apa pembangunan kalau menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin papa kedana,” katanya.

Anwar berkata, keadaan itu mengakibatkan ada kesenja­ngan antara kelompok yang kaya te­rus mendapat faedah tetapi golo­ngan terbanyak tersisih.

“Tidak akan selesai dengan hanya membina rumah di Batu dan di Kepong atau satu, dua projek perumahan Madani, mesti ada perancangan jelas dan pimpinan yang mempu­nyai tekad jelas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×