KANGAR: Selain memiliki pemahaman yang mendalam terhadap al-Quran, umat Islam juga dituntut menguasai bidang bahasa, digital dan kecerdasan buatan (AI) supaya tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini, penguasaan bahasa, digital dan AI menuntut penguasaan cepat agar tidak ketinggalan.
Katanya, namun dalam menghadapi semua ini, umat Islam perlu mendasari pemahaman asas al-Quran dan penghayatannya.
“Dalam era kepesatan ilmu masa kini, umat Islam perlu terus menggali dan mempelajari pelbagai disiplin ilmu dengan menjadikan al-Quran sebagai pedoman.
“Sudah tentu dalam kerangka menggali, mempelajari dan menjadikan al-Quran itu sebagai pedoman, kita juga dituntut menghayati sejauh mana dapat menguasai al-Quran serta menjadikannya pedoman ke arah persatuan dan membina kekuatan,” katanya berucap pada majlis perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Dewan 2020 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Anwar berkata, perkembangan pesat dunia hari ini menuntut keperluan ilmu pengetahuan dalam membina negara dan tamadun sejagat.
Katanya, pembangunan negara juga perlu dilaksanakan berasaskan nilai dan akhlak mulia bagi mengelakkan umat menjadi rakus serta mencabar nilai kemanusiaan.
“Dasar ilmu yang diteliti dan dihayati mampu membina kekuatan baharu dalam membangunkan tamadun yang unggul, sekali gus mengangkat negara agar tidak tercicir dalam pelbagai bidang.
“Kebenaran mesti diangkat tanpa mengabaikan kekuatan akidah yang dimiliki umat Islam di seluruh dunia, berlandaskan kekuatan al-Quran itu sendiri,” katanya.-UTUSAN