WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan perang perdagangan terbesar dalam sejarah dengan dasar baharu tarif 10 hingga 50 peratus ke atas barangan dari 60 negara, termasuk Malaysia berkuat kuasa bulan ini.
Kadar tarif timbal balik yang dianggap ‘Hari Pembebasan’, didakwa untuk menangani dasar-dasar seperti manipulasi mata wang, undang-undang pencemaran dan buruh yang longgar, serta peraturan membebankan yang menghalang produk AS memasuki pasaran asing.
Di bawah dasar itu, sekutu utama AS, Kesatuan Eropah (EU) dikenakan kadar tarif sebanyak 20 peratus manakala Jepun (24 peratus), Korea Selatan (25 peratus), India 26 (peratus) dan Taiwan (32 peratus).
China, yang mempunyai lebihan perdagangan terbesar dengan AS pada tahun 2024 sebanyak AS$295 bilion (RM1.3 trilion), akan dikenakan kadar tarif timbal balik sebanyak 34 peratus.
Setiausaha Kewangan, Scott Bessent berkata, jumlah tarif ke atas China akan meningkat kepada 54 peratus apabila digabungkan dengan cukai 20 peratus yang dikenakan Trump pada Februari berhubung krisis fentanyl di AS.
Rantau Asia Tenggara yang bergantung kepada eksport, turut dikenakan tarif yang amat tinggi, dengan enam daripada 10 negara, menerima kadar antara 32 peratus hingga 49 peratus misalnya, Vietnam sebanyak 46 peratus dan Thailand (36 peratus).
Malaysia tidak terkecuali dalam senarai teratas apabila dikenakan tarif timbal balik pada kadar 24 peratus, sementara Laos dan Kemboja masing-masing pada 48 dan 49 peratus.
Negara-negara terlibat dijangka bertindak balas dengan langkah mereka sendiri yang boleh membawa kepada krisis ekonomi global seperti kenaikan harga secara mendadak bagi pelbagai barangan daripada basikal hingga wain.
Malaysia bagaimanapun dilaporkan tidak bercadang untuk bertindak balas, sebaliknya mahu berunding dengan pentadbiran Trump mengenai dasar tarif baharu itu.
Tarif timbal balik itu tidak terpakai kepada beberapa barangan termasuk tembaga, farmaseutikal, semikonduktor, kayu balak, emas, tenaga dan ‘mineral tertentu yang tidak terdapat di AS’, menurut lembaran fakta White House.
Trump berhujah, levi baharu ini akan meningkatkan pekerjaan pembuatan di dalam negara.
“Selama berdekad-dekad, negara kita telah dirompak dan diperlakukan secara tidak adil oleh negara-negara jiran dan jauh, baik kawan mahupun musuh,” kata Trump dalam satu acara di Rose Garden, White House.
Pegawai White House berkata, penalti lebih tinggi itu akan berkuat kuasa pada 9 April dan akan terpakai kepada kira-kira 60 negara secara keseluruhan sementara tarif asas 10 peratus berkuat kuasa pada Sabtu, 5 April.
Pada Ahad, Pembantu White House, Peter Navarro berkata, tarif diumumkan Trump akan membawa masuk pulangan hasil sebanyak AS$600 billion (RM2.6 trilion) setiap tahun dengan anggaran AS$6 trilion (RM26.6 trilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang, sekali gus menjadikannya kenaikan cukai terbesar dalam sejarah AS.
Bagaimanapun pakar-pakar ekonomi dunia memberi amaran, tarif itu boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi global, meningkatkan risiko kemelesetan dan menaikkan kos sara hidup bagi keluarga AS sehingga ribuan dolar.
Malah, pakar ekonomi di JP Morgan, Michael Feroli dilaporkan berkata, dasar tarif itu akan meningkatkan harga pengguna dan menjejaskan kuasa beli di AS, sekali gus menjerumuskan negara itu kepada kegawatan.
EU pula dalam reaksi segeranya menyifatkan tarif itu sebagai `kejutan terbesar’ kepada ekonomi dunia khususnya blok berkenaan yang dianggotai 27 buah negara.
Blok ekonomi itu turut memberi amaran akan bertindak balas sekiranya rundingan dengan Washington gagal.
“Kesannya akan memberi impak kepada jutaan manusia di seluruh dunia,” kata Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen dalam satu kenyataan. – AGENSI










