KANGAR: Lompatan bersejarah dengan motosikal oleh Sarjan Muhammad Akmal Shaari melepasi 25 biji kereta sebagai simbolik Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memukau lebih 25,000 penonton yang memenuhi stadium Tuanku Syed Putra di sini, kelmarin.
Itu salah satu daripada pelbagai lagi pertunjukan menarik pada persembahan Tatu Angkatan Tentera Darat Malaysia bersempena sambutan Jubli Perak tersebut.
Tuanku Syed Sirajuddin bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menyaksikan persembahan yang cukup memukau itu bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Acara dimulakan dengan gimik pembukaan disusuli persembahan Drumline Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pertunjukkan payung terjun oleh anggota 10 Briged Para, pertunjukkan tempur tanpa senjata, pertunjukan cawangan serigala, persembahan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kawad patung PDRM, Tim Army Red Warrior, persembahan orkestra pancaragam dan pelbagai lagi sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.
Terdahulu pada sebelah pagi, turut berlangsung Istiadat Perarakan Panji-Panji Pasukan-Pasukan Rejimen Renjer Diraja bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, di Stadium Tuanku Syed Putra.
Tuanku Syed Sirajuddin dalam titah pada istiadat perarakan tersebut menyeru agar rakyat terutama para penjawat awam dan anggota tentera darat terus menanamkan nilai perpaduan, integriti, profesionalisme dan sikap proaktif dalam berkhidmat untuk negara.
Titah baginda, budaya mementingkan diri dan berpeluk tubuh perlu dikikis demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“Saya merupakan antara Raja Melayu yang terawal menerima pendidikan ketenteraan secara formal dan seterusnya berkhidmat sebagai seorang anggota tentera. Sesungguhnya pengalaman berkhidmat sebagai anggota tentera dalam memastikan keamanan negara memberikan saya kesedaran dan semangat untuk memastikan negara terus maju, aman dan kekal berdaulat,” titah baginda.-UTUSAN.