PONTIAN: Pasangan suami isteri akhirnya mencapai impian untuk menjadi tetamu Allah selepas berusaha menyimpan sekurang-kurangnya RM50 sebulan dalam akaun Lembaga Tabung Haji (TH) mereka selama lebih 18 tahun.
Ahmad Tarmizi Sujak, 67, dan Siti Samiah Tukiman, 62, mengakui menangis dan bersujud syukur apabila menerima pesanan ringkas tentang tawaran menunaikan haji pada 4 Disember tahun lalu.
Ahmad Tarmizi yang melakukan pelbagai kerja kampung seperti menjadi tukang rumah dan pendawaian elektrik memberitahu, akan menyimpan sedikit wang yang diperoleh untuk digunakan semasa menunaikan Rukun Islam kelima itu suatu hari nanti.
“Memang impian kami untuk menunaikan fardu haji walaupun pada tahun 2016 saya diserang angin ahmar sebelah badan, namun sembuh dua tahun kemudian.
“Sebagai tanda syukur, saya dan isteri pergi menunaikan ibadah umrah dan doa dipanjatkan agar dapat menunaikan fardu haji pula,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Seraya, Benut, di sini.
Ahmad Tarmizi yang bertugas sebagai noja di Masjid Jamek Kampung Parit Marjunid mengakui sentiasa berjimat dalam perbelanjaan harian mereka.
“Alhamdulillah, hasil berjimat, saya dan isteri telah mempunyai tambang yang cukup selain keperluan lain sebelum bertolak ke Tanah Suci pada 21 Mei depan,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan dan seorang cucu.
Siti Samiah dan suaminya juga sudah lebih enam kali menghadiri kursus haji yang dianjurkan oleh pihak TH di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Benut pada setiap hari Sabtu.
“Walaupun pada masa itu nama belum tersenarai, saya dan suami teruja mengikuti kursus haji sebagai persediaan untuk ke Tanah Suci Mekah sepertimana bakal-bakal haji yang lain,” katanya.
Tambahnya, seperti umat Islam yang lain, peluang menunaikan haji disambut dengan linangan air mata sebagai tanda kesyukuran.
“Saya juga bersyukur kerana penyakit angin ahmar suami telah sembuh dan berharap semua urusan nanti dipermudahkan dengan bimbingan dan tunjuk ajar TH kelak,” katanya.-UTUSAN.