PRK Ayer Kuning: Siapa pilihan 31,281 pengundi?

PRK Ayer Kuning: Siapa pilihan 31,281 pengundi?

IKMALRUDIN Ishak (dua dari kanan) meninjau persiapan akhir petugas SPR untuk hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning esok ketika tinjauan di Dewan Merdeka Tapah, Tapah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seramai 31,281 pe­ngundi bakal menentukan kemenangan sama ada calon Barisan Nasio­nal (BN) ataupun calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini.

Walaupun BN diramal memiliki kelebihan untuk menang, namun keputusan sebenar terletak pada pengundi di mana hampir separuh daripada jumlah itu merupakan golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun dengan pengundi lelaki seramai 15,917 dan wanita 15,980.

Dari segi peratusan pula, sebanyak 56.80 peratus adalah pengundi Melayu, 21.12 peratus (Cina), 14.43 peratus (India) dan lain-lain 0.70 peratus.

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran akan dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup secara berperingkat antara pukul 4 hingga 6 petang, dan keputusan rasmi dijangka akan dapat diketahui pada pukul 9 malam ini.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 601 petugas termasuk polis pengiring akan bertugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Katanya, semua pengundi digalakkan keluar mengundi pada tempoh masa yang ditetapkan dan dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat akhir.

Ikmalrudin juga mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan bagi membuktikan mereka adalah pemilih berdaftar di kawasan berkenaan.

“Mereka boleh memilih masa yang sesuai namun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, kita sarankan untuk keluar awal.

“Pengundi juga perlu mematuhi larangan yang dikuatkuasakan iaitu tidak memakai pakaian yang memaparkan nama, lambang, simbol atau gambar parti apabila memasuki pusat mengundi hari ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir oleh petugas SPR di Dewan Merdeka Tapah, di sini semalam.

Menurut beliau, keputusan rasmi PRK DUN Ayer Kuning dijangka akan diperoleh sekitar pukul 9 malam esok.

“Berdasarkan kawasan yang tidak luas dan sekiranya berjalan lancar, Insya-Allah sekitar pukul 9 malam kita boleh maklumkan keputusan secara rasmi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menerima lebih 33 laporan melibatkan bahan kempen.

Katanya, kebanyakan kesalahan melibatkan pemasangan poster di tempat yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti tepi jalan yang menghalang lalu lintas.

“Saya dimaklumkan ada empat laporan melibatkan individu yang mana kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya.

Pada Selasa lalu, seramai 500 anggota polis dan pasangan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di mana seramai 476 orang mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor manakala 24 lagi di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya