KOTA BHARU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning malam tadi, membuktikan Kerajaan Perpaduan semakin diyakini oleh rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia menunjukkan rakyat memilih untuk menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun orang ramai banyak bercakap soal isu melibatkan pentadbiran baik diperingkat negeri mahu pun negara.
“Tugas kita (Kerajaan Perpaduan) adalah menunjukkan kepada masyarakat apa sahaja perbezaan politik, paling penting negara kita adalah stabil.
“Sebagai contoh satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Coldstream yang mempunyai 1,700 pengundi dan hanya empat pengundi Melayu sahaja. Sebelum ini lapan Pilihan Raya kita tidak pernah menang di PDM berkenaan.
“Namun PRK kali ini, kita menang di PDM berkenaan. Jadi apa yang kita nak cakap, Kerajaan Perpaduan ini adalah kerajaan baru dan sudah tentu ramai yang syak wasangka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi LKTN Tahun 2025 di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan benih kenaf baharu kenaf menerusi kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia iaitu Malaysia Kenaf (MK) 1 dan MK2.
Johari memberitahu, tiada gunanya jika kerajaan bertukar Perdana Menteri sehingga tiga kali dan situasi itu boleh menyebabkan negara menjadi tidak stabil.
Terdahulu, BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu dengan majoriti lebih besar.
Beliau menang dengan majoriti 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi keseluruhan daripada 66 saluran undi dan undi pos sehingga penjumlahan undi tamat pada pukul 9.30 malam tadi.-UTUSAN