ARAU: Perlis telah dipilih oleh Wilayah Tashkent di Uzbekistan sebagai rakan kolaborasi utama di negara ini melibatkan beberapa bidang strategik.
Menerusi kolaborasi ini, antara bidang yang akan diberi tumpuan untuk diterokai sebaiknya pada peringkat awal kerjasama ialah melibatkan pemprosesan kenaf dan pembungkusan buah-buahan.
Selain itu, bidang lain yang akan diteroka turut melibatkan aspek pelancongan dua hala khususnya membabitkan segmen pelancongan Islam.
Perkembangan kolaborasi itu dimaklumkan menerusi kunjungan sembah mengadap oleh Gebenor Wilayah Tashkent, Uzbekistan, Mirzaev Zoir Toirovich kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Mengahadap Biru, Istana Arau, semalam.
Berangkat sama dalam pertemuan itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Delegasi Uzbekistan turut dihadiri oleh Duta Besar negara Uzbekistan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Karomiddin Gadoev, Ketua Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Wilayah Tashkent, Aripov Tokhir, Ketua Jabatan Pelaburan, Industri dan Perdagangan Wilayah Tashkent, Sharipov Najmiddinkhuja serta Ketua Dewan Perdagangan dan Industri Wilayah Tashkent, Abdukhalilov Abdurasul.
Menerusi pertemuan itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah bahawa Perlis amat mengalu-alukan sebarang kerjasama dan akan mempermudahkan segala urusan yang dilihat mampu memberikan manfaat atau impak yang maksimum kepada kedua-dua belah pihak.
Difahamkan, projek-projek terpilih dalam sektor pendidikan tinggi antara Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) juga akan dipelopori sepenuhnya dengan lapan buah universiti terdapat di negara Uzbekistan.
Inisiatif ini diambil hasil daripada lawatan rasmi Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia pada bulan Februari baru-baru ini yang bersetuju supaya wilayah-wilayah di sana bekerjasama dengan negeri-negeri di Malaysia.-UTUSAN