Perlis bakal haram penjualan vape - Utusan Malaysia

Perlis bakal haram penjualan vape

KERAJAAN negeri bakal mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik yang semakin memberi ancaman terutama terhadap golongan muda termasuk pelajar sekolah.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri bakal mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik yang semakin memberi ancaman terutama terhadap golongan muda termasuk pelajar sekolah.

Malah, dalam tempoh lima bulan sudah terdapat dua kes melibatkan penggunaan vape tersebut di mana pada November tahun lalu seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolah dipercayai akibat khayal selepas menghisap rokok elektronik tersebut.

Manakala kelmarin, seorang pelajar tingkatan tiga berbuih mulut apabila diserang sawan selepas dipercayai menghisap vape di dalam tandas sebuah sekolah di sini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang memandang serius isu tersebut berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada Jabatan Mufti negeri terlebih dahulu sebelum pelaksanaan selanjutnya dibuat.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin bagi mengharamkan penjualan vape tersebut dalam memastikan masa depan generasi akan datang lebih terjamin.

“Cumanya apa yang membimbangkan, vape ini juga boleh didapati daripada dalam talian, jadi saya rasa kerajaan Persekutuan juga perlu memainkan peranan untuk menyekat penjualan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

Ia susulan pendedahan terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape mengandungi bahan dicampur dadah yang jika tidak dikekang boleh menjadi ancaman baharu di negara ini

Setakat ini, Johor kekal melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape sejak 1 Januari 2016 serta menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan

Kerajaan Selangor pula dilaporkan akan meneliti keperluan mengharamkan penjualan vape dengan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan negeri akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Tambah Mohd Shukri berkata, pihaknya juga mendapat maklumat di mana kejadian yang berlaku itu tidak dilaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan meminta waris atau pihak sekolah buat laporan supaya mudah polis melakukan siasatan.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perlis, Mohd Jeffry Mohd Hassan berkata, pembelian vape secara dalam talian tanpa kawalan sememangnya amat membimbangkan berikutan ia boleh dibeli oleh mana-mana pihak secara mudah.

“Penjualan vape secara terbuka ini juga boleh mendorong kepada penyalahgunaan dadah sekali gus turut menjejaskan kesihatan. Majlis Belia Perlis bersama rakan strategik akan melaksanakan strategi bagi menangani isu penggunaan vape khususnya dalam kalangan belia selepas ini,” katanya.

Katanya, semua pihak juga perlu diberi kesedaran mengenai ancaman vape yang semakin membimbangkan dan isu tersebut perlu ditangani secara serius melibatkan semua lapisan masyarakat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya