PARIS: Kerajaan Perancis sedang mengambil tindakan terhadap kumpulan di TikTok yang mempromosikan tubuh kurus melampau dalam kalangan wanita dan remaja perempuan.
Menteri Media Digital Perancis, Clara Chappaz, melaporkan hashtag #SkinnyTok kepada pengawal selia audiovisual dan digital negara serta Kesatuan Eropah (EU) atas kebimbangan bahawa trend itu mendorong mangsa ke arah anoreksia dan algoritma aplikasi tersebut menyasarkan golongan paling terdedah.
Hashtag tersebut dikaitkan dengan lebih setengah juta siaran di aplikasi itu.
“Video yang mempromosikan tubuh kurus melampau ini menjijikkan dan sama sekali tidak boleh diterima.
“Alat digital memang hebat dari segi kemajuan dan kebebasan, tetapi jika disalahgunakan, ia boleh menghancurkan hidup dan rangkaian sosial tidak boleh lari daripada tanggungjawab mereka,” katanya.
Bulan lalu, ahli parlimen Perancis meluluskan penubuhan suruhanjaya khas untuk mengkaji kesan psikologi TikTok terhadap kanak-kanak dan remaja.
Martin Ajdari, presiden pengawal selia Arcom, dijadualkan memberi keterangan kepada suruhanjaya itu bulan depan.
Arcom menyatakan mereka sedar isu ini sebagai risiko kesihatan awam dan sedang mengumpul maklumat tentang skala masalah serta menilai langkah yang diambil TikTok sebagai respons.
Di bawah Akta Perkhidmatan Digital EU, platform internet diwajibkan melaksana langkah untuk mengurangkan risiko dan melindungi kanak-kanak bawah umur.
Pada 2015, parlimen Perancis meluluskan hukuman penjara sehingga setahun dan denda €10,000 (RM50,250) bagi sesiapa yang menggalakkan anoreksia.
Seorang jururawat pakar gangguan pemakanan remaja, Charlyne Buigues, melancarkan petisyen untuk memberi amaran tentang bahaya #SkinnyTok dan trend media sosial seumpamanya.
“Saya berdepan dengan kesan buruk imej dan mesej tertentu di media sosial seperti #SkinnyTok terhadap kesihatan mental dan fizikal golongan muda.
“Video-video ini, sering ditonton remaja, mempromosikan norma badan tidak realistik dan menggalakkan tabiat makan berbahaya seperti diet ketat, senaman berlebihan, atau kebuluran,” tulisnya.
Di TikTok, carian #SkinnyTok memaparkan puluhan video mendorong wanita dan remaja perempuan mengawal makan secara melampau.
Dianggarkan 40,000 orang di Perancis menghidap anoreksia nervosa, dengan 90 peratus daripadanya remaja. Ia merupakan penyakit psikiatri paling meragut nyawa di negara itu.- AGENSI










