GAZA: Ketika Israel terus melaksanakan sekatan ke atas Gaza, rakyat Palestin kini berusaha membaiki tangki air yang rosak akibat ditembusi peluru kereta kebal dan bom Israel.
Seorang tukang paip, Ihab Abdel Bari berkata, peperangan memberi kesan besar kepada tangki air kerana kebanyakannya terletak di atas bumbung rumah.
Katanya, kedudukan itu menjadikan tangki air mudah terdedah kepada serpihan peluru, terutama daripada dron kecil yang sering menembak sasaran di atas bumbung.
Kekurangan bekalan air menjadikan tangki tersebut sangat penting untuk menyimpan sedikit sumber air yang berjaya diakses oleh penduduk.
“Saya bertugas membaiki tangki-tangki ini. Ada yang hanya berlubang satu atau dua, ada yang berpuluh-puluh lubang.
“Ada juga yang retak besar, memaksa orang ramai membaikinya dengan apa cara sekalipun,” kata Ihab kepada Middle East Monitor (MEMO).
Sekatan Israel juga menyebabkan peralatan yang diperlukan untuk kerja pembaikan sukar diperoleh.
“Ini bukan sahaja menyukarkan tugas saya, malah menjadikan kosnya tinggi kerana saya terpaksa menggunakan gas memasak untuk mengimpal tangki dengan plastik cair bagi menutup lubang-lubang itu,” katanya.
Sebelum perang, harga tangki air 500 liter hanya sekitar AS$20 (RM94), tetapi kini harganya mencecah AS$140 (RM660) di Gaza.
Kumpulan hak asasi manusia menyatakan bahawa pemusnahan infrastruktur air Gaza dan kesukaran rakyat Palestin mengakses sumber asasi adalah sebahagian daripada kempen genosid negara penjajah itu di Gaza, serta usaha untuk mengusir penduduk Palestin dengan sebarang cara.– AGENSI










