JAKARTA: Seorang wanita warga emas diarahkan turun dari pesawat selepas bergurau mendakwa membawa bom di dalam begnya.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika penerbangan Batik Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di Manado, Sulawesi Utara, Indonesia.
Menurut laporan, penumpang tersebut memberitahu pramugari bahawa dia membawa bahan letupan ke dalam pesawat.
Namun, gurauannya bertukar serius apabila pegawai keselamatan memintanya meninggalkan pesawat sebelum berlepas.
Kejadian itu dirakam oleh penumpang lain, Michael Lasut, yang menunjukkan wanita itu mengumpulkan barang-barangnya sebelum turun dari pesawat.
Dalam rakaman tersebut, wanita itu kelihatan tenang ketika meninggalkan tempat duduk dan memberi kerjasama dengan pegawai serta kru kabin.
Michael merakam detik wanita itu berjalan di dalam pesawat sebelum keluar, sementara penumpang lain tetap duduk di tempat masing-masing.
Ketika pesawat Batik Air bersiap untuk berlepas, wanita itu memberitahu pramugari bahawa dia membawa bom.
Kru kabin segera mengikut prosedur operasi standard dengan memaklumkan kepada juruterbang dan pegawai keselamatan penerbangan, yang kemudian menyiasat wanita tersebut.
Akibat kenyataan tidak sepatutnya, penerbangan itu terpaksa ditangguhkan selama dua jam sebelum pemeriksaan kemudian mengesahkan tiada sebarang bahan letupan, termasuk bom dalam beg milik wanita itu.
Selepas dikeluarkan dari penerbangan pada Selasa minggu lalu, penumpang tersebut diserahkan kepada Penyiasat Pegawai Awam (PPNS) dan Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta untuk tindakan lanjut.
Menurut Pegawai Strategi Komunikasi Korporat Batik Air, Danang Mandala Prihantoro, penumpang tersebut telah disenaraihitam oleh syarikat penerbangan.
“Seorang penumpang wanita di kerusi 11E didapati mengeluarkan kenyataan yang mengandungi unsur ancaman, iaitu mengaku membawa bom kepada salah seorang kru kabin namun, tiada sebarang bahan letupan ditemui.
“Batik Air juga mengenakan sekatan dalaman dengan menyenaraihitamkan individu berkenaan,” katanya.
Kejadian ini menyusul selepas insiden lain di mana semua penumpang terpaksa dikeluarkan dari pesawat Delta Air Lines selepas ia tiba-tiba terbakar di landasan pada petang 21 April lalu.- AGENSI










