Nurin Husna masih trauma, Unimap salur bantuan - Utusan Malaysia

Nurin Husna masih trauma, Unimap salur bantuan

ZALIMAN Sauli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights yang juga merupakan pelajar Unimap baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Meskipun lebih dua minggu berlalu, tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu masih terus bermain dalam fikiran Nurin Husna Ahmad Baharudin.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu masih terkenang bagaimana suasana pada masa itu ibarat gempa bumi selain terpisah hampir 24 jam dengan keluarga.

Nurin Husna, 24, berkata, ketika kejadian pada hari raya kedua itu, dia sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat disusuli bahang panas yang datang dari arah dapur.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, selepas letupan tersebut, dia berlari keluar sehelai sepinggang dan hanya sempat mencapai telefon bimbit

“Lebih menakutkan dia turut terpisah dengan ibu ketika cuba menyelamatkan diri. Ibu yang lari berkaki ayam mengalami kecederaan di kaki akibat terpijak serpihan kaca dan objek tajam di kawasan kejiranan,” katanya ketika menerima lawatan Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli baru-baru ini.

Unimap turut menyalurkan bantuan kepada Nurin Husna dan keluarganya.

Turut bersama dalam sesi ziarah dan penyerahan sumbangan itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar Unimap, Prof. Madya Ir. Dr. Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unimap, Muhammad Syamil Ramlan.

Zaliman berkata, pihak universiti telah melancarkan tabung bantuan kilat dan berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM6,305.00.

“Inisiatif ini merupakan simbol keprihatinan seluruh warga Unimap terhadap pelajar yang dilanda musibah. Kami amat bersimpati dan akan sentiasa berusaha memberikan bantuan sewajarnya.

“Dalam usaha meringankan beban yang ditanggung oleh Nurin Husna, Unimap turut memberikan kelonggaran berkaitan kehadiran kuliah serta komitmen akademik pelajar tersebut. Kelonggaran ini adalah selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi agar memberi sokongan menyeluruh kepada pelajar yang terlibat dalam bencana.

“Kami percaya insiden yang berlaku ini pasti meninggalkan kesan emosi yang mendalam, namun kami berharap dengan semangat kebersamaan dan solidariti yang ditunjukkan oleh Unimap serta masyarakat sekitar akan memberi sinar harapan dan kekuatan buat semua mangsa untuk bangkit semula,” katanya.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia yang menempatkan mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu telah dikosongkan sepenuhnya semalam.

Semua 613 keluarga yang ditempatkan di PPS itu dibenarkan pulang ke penginapan sementara atau kediaman masing-masing selepas kawasan perumahan mereka disahkan selamat oleh pasukan bomba.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya