KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang sentiasa melaksanakan program berimpak tinggi dalam membangunkan golongan asnaf.
Titah baginda, MAIPs bukan sahaja berperanan sebagai pentadbir hal ehwal agama Islam, malah turut menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti Islam khususnya dalam membantu golongan asnaf keluar daripada kitaran kemiskinan.
Dalam masa sama, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah atas pelaksanaan insentif kelahiran yang membuktikan keprihatinan MAIPs dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam memastikan anak-anak asnaf mempunyai tabungan pendidikan serta melahirkan generasi celik kewangan.
“Besar harapan beta agar insentif kelahiran ini dimanfaatkan sebaiknya oleh ibu bapa untuk memulakan penabungan secara konsisten, seterusnya menyediakan perancangan kewangan yang baik untuk pendidikan tinggi anak-anak. Akaun Simpan SSPN Prime juga menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Permata Kasih (PEKA) Simpan SSPN Bagi Kelahiran Baharu Anak Asnaf Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia, baru-baru ini.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga merangkap Yang Dipertua MAIPs.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta menyaksikan penyampaian cek cura oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs kepada Ketua Eksekutif PTPTN.
Majlis anjuran bersama MAIPs dan PTPTN ini bertujuan bagi memperkenalkan inisiatif tabungan pendidikan khusus untuk anak-anak asnaf yang baru dilahirkan di negeri ini melalui pembukaan akaun Simpan SSPN Prime.
Pada majlis itu, MAIPs turut menyumbang sebanyak RM400,000 bagi membuka akaun Simpan SSPN Prime buat 2,000 anak asnaf yang baharu lahir di negeri ini.
Melalui kerjasama dengan pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF), penerima yang layak akan dikenal pasti dan bakal menerima RM200 dalam bentuk simpanan sebagai dorongan awal untuk masa depan pendidikan mereka.-UTUSAN