HULU TERENGGANU: “Jika ke Kuala Berang, jangan lupa beli jagaong (jagung)”.
Itu antara pesanan atau ungkapan sering dititipkan suatu ketika dahulu sekiranya berkunjung ke daerah ini yang menggambarkan jagung sangat popular di Kuala Berang.
Produk pertanian jagung hasil usaha pekebun tempatan sinonim dan menjadi identiti Kuala Berang sehinggakan tidak lengkap apabila pulang tanpa membeli jagung.
Sekitar awal tahun 1990-an pula, deretan gerai jagung dibina pihak berkaitan berhampiran simpang tiga Kampung Gaung, untuk memasarkan hasil pertanian penduduk terutama jagung sekali gus menjadi pusat tumpuan ramai terutama pelancong serta pengguna jalan raya.
Peniaga di gerai jagung Kampung Gaung mampu tersenyum apabila memperoleh hasil jualan lumayan hampir setiap hari dan meningkat hingga mampu cecah lebih RM500 sehari semasa tiba musim perayaan atau cuti persekolahan.

Namun, peredaran masa seolah-olah menjadikan jagung Kuala berang tidak lagi masyhur apatah lagi ikan baung masak tempoyak kini ‘lebih mendominasi’ identiti bagi Kuala Berang.
Rasa manis dan segar
Seorang peniaga, Zaharah Idris, 70, berkata, dia antara individu awal mula berniaga di gerai jagung Kampung Gaung dan tidak menafikan populariti jagung Kuala Berang kian pudar.
“Jagung Kuala Berang cukup dikenali ketika dahulu dengan rasa manis dan segar, awal-awal dulu di sini terdapat lebih 20 peniaga menjual hasil pertanian seperti kacang tanah, ubi, dan yang paling popular adalah jagung.
“Ada yang sekadar jual produk dihantar pekebun atau penduduk tempatan ke sini, ada juga dalam kalangan peniaga mengusahakan sendiri tanaman di kebun dan menjualnya.
“Bagaimanapun, peniaga sekarang termasuk saya sendiri tidak lagi menanam jagung kerana faktor usia. Peniaga asal juga ada yang uzur, meninggal dunia dan diteruskan berniaga oleh ahli keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dilema dapatkan bekalan
Menurut Zaharah, dilema dihadapi peniaga adalah mendapatkan jagung tempatan kerana bekalan terhad ekoran bilangan pekebun yang mengusahakannya semakin berkurangan.
“Ada ketikanya tiada langsung jagung hasil usaha pekebun tempatan, kami terpaksa dapatkan bekalan daripada luar terutama Merchang, Marang serta Perak. Kadangkala ada pembeli datang mencari jagung Kuala Berang.
“Peniaga juga tidak lagi boleh bergantung pada hasil jualan jagung semata-mata, sebaliknya perlu pelbagaikan. Hendak dapatkan RM10 sehari daripada jualan jagung pun payah sekarang,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Kelesom Seman, 66, berkata, jumlah pengguna jalan raya yang semakin kurang menggunakan laluan di situ juga antara faktor populariti jagung Kuala Berang tidak lagi seperti dulu.
“Musim cuti raya dan sekolah dahulunya menjadi masa ditunggu-tunggu peniaga di sini kerana laluan ini antara pilihan utama pengguna jalan raya daripada Kuala Lumpur ke Kelantan. Suasana berubah setelah adanya Lebuhraya Pantai Timur 2, majoriti perantau menggunakan kemudahan itu.
“Bukan menolak pembangunan, cuma ada ketikanya datang rasa rindu dengan kemeriahan suasana dulu-dulu, kedatangan pelancong juga tidak lagi seperti dulu,” katanya.
Hentian Gaung Sejahtera
Katanya, usaha pihak berkaitan menaik taraf gerai jagung Kampung Gaung beberapa tahun lepas dan dijenamakan sebagai Hentian Gaung Sejahtera secara tidak langsung menjadi kesinambungan perjuangan peniaga mencari rezeki.
“Harga jagung sekarang dijual RM10 setompok antara enam hingga lapan tongkol
bergantung pada saiz. Selain itu, pelbagai jenis produk sudah dapat dibeli di sini sekarang, bukan hasil pertanian sahaja. Walaupun pengunjung yang datang tidak membeli jagung setiap hari, sekurang-kurangnya ada juga perkembangan positif.
“Cuma sebagai peniaga yang sudah lebih 30 tahun berniaga di sini, saya harap kegemilangan jagung yang menjadi identiti Kuala Berang dapat dikembalikan. Rugi rasanya jika populariti atau kemasyuran jagung Kuala Berang terus pudar,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Gaung Pecung, Kamariah Yusof, 65, berkata, ketika ini hanya tinggal sekitar 10 peratus pekebun di kampung itu mengusahakan tanaman jagung.
“Saya mula tanam jagung sejak usia 20-an lagi, tahun 1980-an ketika itu majoriti penduduk usahakan tanaman ini sebagai salah satu sumber rezeki selain hasil kebun yang lain. Namun seorang demi seorang mula berhenti kerana pelbagai faktor terutama usia. Generasi muda pula tidak begitu berminat untuk teruskannya.
Jagung hibrid
“Hasil cadangan jabatan berkaitan juga, pengusaha tanaman jagung yang ada sekarang telah beralih kepada jagung hibrid, bukan lagi jagung kampung seperti dahulu.
“Pengeluaran jagung antara dua hingga tiga kali setahun iaitu sekitar bulan Mac, Jun serta September. Mungkin hasil daripada kampung ini tidak lagi banyak seperti dulu, namun masih ada pengeluarannya,” katanya.
Seorang lagi pekebun, Timah Deraman, 74, berkata, kawasan pertanian Kampung Gaung Pecung dan Kampung Gaung antara lokasi pengeluaran utama jagung di Kuala Berang suatu masa dahulu.
“Jagung Kuala Berang bukanlah jenis atau varieti jagung sebenarnya tetapi dikenali begitu kerana di sini begitu sinonim dengan buah itu seperti mana di Losong, Kuala Terengganu yang popular dengan keropok.
“Tidak ramai lagi penduduk seusia saya yang masih teruskan penanaman jagung ini kerana sudah tidak larat. Saya sendiri sekadar tanam atas keluasan tanah sekitar 0.3 hektar sahaja.
“Kalau dulu, kami cuma bawa hasil tanaman ke Pasar Pagi Kuala Berang (setiap Rabu, Sabtu) atau ke gerai jagung Kampung Gaung sekarang ini telah ada pemborong datang beli di kebun. Harga pula sekitar RM100 untuk 100 tongkol,” katanya. – UTUSAN










