KUALA SELANGOR: Masalah ban rebak di Bagan Pasir, Tanjong Karang di sini, yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu dijangka selesai menerusi kaedah pembinaan laluan terapung.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi berkata, kaedah pembinaan dari Indonesia itu menggantikan cara konvensional yang sebelum ini gagal menangani masalah tanah mendap di kawasan tersebut.
“Struktur tanah jerlus menyebabkan mendapan masih berlaku biarpun kerja baik pulih dilakukan menggunakan cerucuk konkrit. Kita sudah membelanjakan hampir RM9 juta bagi kerja baik pulih termasuk cerucuk namun masih gagal.
“Biarpun banyak kali ditambak, tanah itu tetap turun dan kita sedang menilai teknologi Indonesia yang menggunakan konsep lantai terapung,” katanya ketika ditemui, semalam.
Jelasnya, keadaan ban rebak itu mendatangkan risiko banjir kepada penduduk Bagan Pasir terutama kawasan rendah seperti jalan sejauh 200 meter yang menjadi laluan utama mereka.
Tambah Zulkafperi, konsep teknologi itu digunakan seperti pembinaan jambatan atau kilang di kawasan tanah lembut yang kekal kukuh sejak ratusan tahun.
“Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan jurutera sedang menilai keupayaan teknologi itu sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Perkara itu termasuk melibatkan anggaran kos pembinaan dan penyelesaian kekal perlu dibuat kerana pendekatan sedia ada hanya bersifat sementara dan membazirkan wang rakyat,” ujarnya.
Kata beliau lagi, laluan di kawasan ban rebak itu penting kepada penduduk kerana merupakan jalan utama menghubungkan Bagan Pasir dengan kawasan sekitarnya.
“Jika tidak segera diselesaikan, ia boleh menjejaskan kehidupan harian mereka dalam jangka masa panjang. Setakat ini tiada rumah penduduk yang terjejas, cuma laluan di situ bermasalah,” jelasnya. – UTUSAN