KOTA BHARU: Konflik keluarga dan percintaan bawah umur menjadi punca berlakukanya sumbang mahram dan jenayah rogol dalam kalangan remaja di negeri ini.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil siasatan dijalankan oleh pihaknya ke atas mangsa yang terlibat.
“Kesibukan ibu bapa yang bekerja dan pengabaian daripada aspek agama serta kehidupan yang jahil tentang agama turut menyumbang kepada perbuatan tersebut.,
“Siasatan turut mendapati, 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kes rogol di Kelantan berlaku disebabkan dadah. Apabila kita membuat ujian air kencing, ramai dalam kalangan mangsa atau suspek yang terlibat positif dadah,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di IPK Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusof memberitahu, golongan ibu bapa dinasihatkan supaya memantau tingkah lalu anak-anak mereka termasuk penggunaan telefon pintar.
Katanya, siasatan lanjut yang dijalankan dan hasil pemeriksaan di dalam telefon pintar remaja perempuan yang terlibat telah menjumpai banyak simpanan video dan gambar-gambar berunsur lucah.
“Selain terdapat juga video lucah diri sendiri remaja perempuan berkenaan di dalam telefon yang dihantar kepada lelaki yang kebanyakannya baru mereka kenali,” ujarnya.-UTUSAN