DI utara tanah air, bumi Jelapang Padi berdiri sepi sebuah mahligai cinta, Istana Sepachendera yang seakan-akan membuai mimpi-mimpi di zaman silam pada setiap mata yang memandang.
Istana Sepachendera bukan sekadar bangunan tetapi monumen cinta sang raja kepada permaisurinya seperti ‘Taj Mahal’ yang diabadikan oleh Shah Jahan buat isteri, Mumtaz Mahal, namun tanpa takhta kemasyhuran.
Istana berkenaan dibina pada 1882 sebagai tanda kasih Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah buat isteri pertama baginda, Che Sepachendera yang dipercayai seorang bangsawan dari Siam.
Memayungi Kedah dari 1881 hingga 1943, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah membina istana itu sebagai hadiah untuk Che Sepachendera, setahun selepas baginda menaiki takhta sebagai tanda cinta yang tidak memadai andai hanya dilafaz dengan kata-kata.

Di istana itu juga empat anakanda Sultan Abdul Hamid Halim Shah diputerakan iaitu Tunku Ibrahim yang bergelar Tunku Sulung, Tunku Rokiah, Tunku Zam Zam dan Tunku Kasim (Tunku Laksamana) yang membesar bahagia bersama ayahanda dan bonda mereka dalam dakapan dinding yang kini kian runtuh dan mereput.
Namun tidak sebertuah Taj Mahal, Istana Sepachendera kini hanya tinggal sebagai sebuah bangunan usang yang berbekas batu dan kayu yang semakin mereput bersulam sejarah yang samar-samar.
Istana Kampung Baru
Sememangnya sukar menjejaki sejarah Istana Sepachendera dari muzium hingga ke naskhah buku kerana yang ada cuma sekadar cerita lisan dan serpihan ingatan para pencinta warisan.
Tersergam megah di tengah-tengah nadi pembangunan ibu negeri Jelapang Padi ini, istana tersebut dahulunya dikenali sebagai Istana Kampung Baru, sempena nama lokasinya yang kini bukan sahaja tinggal sejarah malah hilang dari peta negeri dek kerana tuntutan kemajuan.
Istana Sepachendera memancarkan keindahan yang memikat dengan sentuhan halus seni bina Siam dan Melayu Lama sekali gus menyingkap kisah silam penuh persona.
Bangunan istana bertingkat tiga yang direka dalam bentuk simetri, dengan dinding yang melengkung di kedua-dua sisi seperti menghulur salam kepada sesiapa yang memandang.
Gerbang di teres disangga tiang gagah, sementara tangga berliku turun ke kiri dan kanan, seolah mengundang jejak kaki zaman lalu. Jika diamati dengan mata hati, lidah batu menjulur dari anjung, bagaikan meluahkan bisik rahsia istana.
Walaupun bangunan istana ini sudah tua dan usang sehingga mengakibatkan beberapa elemen simetri hilang namun seni binanya kekal bergaya klasik.
Usai kemangkatan Che Sepachendera, wanita bangsawan yang pernah menjadi suri Sultan Kedah yang ke-26 itu, istana ini berubah wajah.
Sekolah perempuan pertama di Kedah
Pada 1922, atas keprihatinan Tunku Sulung terhadap pendidikan anak-anak negeri ini, istana berkenaan berubah menjadi menjadi Sekolah Perempuan Kampung Baru, sekolah perempuan pertama di Kedah.
Usia sekolah itu berlanjutan sehingga 1954 sebelum berpindah ke Jalan Langgar, Alor Setar yang kemudian dikenali sebagai Sekolah Menengah Sultanah Asma.

Bangunan bersejarah ini terus hidup pada tahun 80-an sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Abdul Halim, sebelum akhirnya menjadi pejabat audit bagi Jabatan Pendidikan Kedah.
Seperti diceritakan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr. Ibrahim Bakar, seni bina istana tersebut bercampur baur antara ciri-ciri Siam dan Melayu.
“Seni bina istana ini bercampur baur dengan nilai-nilai Siam dan Melayu. Memang menarik kerana ada nilai Siam ataupun Melayu Lama. Dari sudut sejarahnya Sultan Abdul Hamid pun banyak bersemayam di Istana Sepachendera ini dan ramai putera baginda yang berwibawa diputerakan Che Sepachendera di sini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Perkara sama ditegaskan oleh Pakar Sejarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Mohd. Kasri Saidon yang melihat kepada persamaan seni bina Istana Sepachendera dengan Istana Kuden di Satun, Songkhla, Thailand yang kini dijadikan muzium daerah tersebut.
Kata beliau, melihat persamaan itu sekali gus membuktikan keakraban hubungan diplomatik dan budaya antara Kedah dan Siam suatu ketika dahulu.
“Almarhum baginda Sultan Kedah ketika itu mempunyai hubungan diplomasi yang rapat dengan Raja Siam, jadi tidak menghairankan jika pengaruh Siam banyak di Kedah. Banyak bangunan lama di Kedah mempunyai ciri-ciri Siam termasuk Balai Besar.
Mitos
“Apabila berlaku perkahwinan dikatakan isteri pertama Sultan Kedah ketika itu, Che Sepachendera jadi dihadiahkan istana ini. Namun susur galur Che Sepachendera ini tidak jelas cuma permaisuri itu dikatakan bukan dari kelompok diraja tetapi bangsawan.
“Che Sepachendera, permaisuri pertama baginda, dikatakan menerima istana ini sebagai lambang cinta dan darjat, meski berasal dari keluarga bangsawan, bukan berdarah raja,” katanya.
Demikian juga, seperti mana-mana bangunan purba yang memeluk sejarah, Istana Sepachendera tidak lepas daripada cerita mitos dan legendanya.
Antara cerita yang berbisik dari dindingnya adalah penggunaan putih telur dan madu lebah dalam pembinaannya kerana ramuan khas itu yang menyatu struktur dengan semangat alam dan kepercayaan silam.
“Sebenarnya tidak dapat dipastikan adakah benar bangunan ini menggunakan telur putih atau madu lebah namun pada sekitar 1882 itu teknologi simen sudah berkembang. Mungkin gambaran penggunaan putih telur dan madu lebah itu sekadar mitos atau kepercayaan orang silam,” jelas Dr. Ibrahim.
Demikian juga pandangan Dr. Mohd. Kasri, sejauh mana kebenaran penggunaan bahan itu yang dikatakan berfungsi mengukuhkan struktur bangunan perlu dibuktikan oleh pakar bangunan.
Tanah warisan
Bercakap tentang kewajaran istana ini dibaik pulih, kedua-dua pakar sejarah ini berpandangan ia mampu memanfaatkan pembangunan Kedah terutama dalam sektor pelancongan.
“Sangat wajar istana ini dibaik pulih dan dikekalkan sebab ia banyak manfaat. Cuma mungkin ada kekangan contoh istana ini berada di atas tanah kerajaan negeri dan ia diwartakan sebagai tanah warisan.
“Jadi pembangunan di atas tanah ini kalau berkaitan dengan warisan negara ada beberapa masalah yang akan timbul yang pertama interpretasi tanah warisan ini kita kena tengok bangunan warisan pula.
“Kalau benar bangunan dan tanah itu diisytiharkan sebagai warisan maka setiap bangunan lain di sekeliling kena ada jarak tertentu untuk bangunan itu. Kena ada jarak tidak boleh ada mesti dikosongkan itu dari sudut enakmen warisan,” kata Dr. Ibrahim.
Tambah beliau, sekiranya istana lama itu berjaya dibangunkan ia membawa banyak manfaat misalnya minat dari sudut pembangunan ekonomi pelancongan yang baik kerana tempatnya sangat strategik melihat kepada kedudukannya di tengah kota bandar raya Alor Setar.

Bagi Dr. Mohd. Kasri, kesedaran masyarakat tentang kepentingan warisan lama ini andai dikekalkan boleh menjadi langkah awal untuk mempertahankannya jika kekangan kewangan menjadi faktor utama.
“Istana ini berada dalam segitiga emas bandar raya ini. Perkara itu menjadikan ia sangat unik dan berharga. Namun semangat cintakan sejarah dalam kalangan anggota masyarakat ini mampu mempertahankan kewujudan istana itu.
Istana lama dan aktiviti paranormal
“Kedah mempunyai banyak istana lama yang terbiar dan usang termasuk Istana Tunku Kudin. Banyak yang tidak mengetahui sejarah istana tersebut malah ada yang mempercayai ia tinggalan Raja Bersiong. Sejarah warisan kalau hilang apalah ertinya lagi,” katanya.
Seorang penduduk, Aziz Ahmad, 40, memberitahu, istana tersebut memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri yang sentiasa menggamit pandangan mereka yang melalui kawasan tersebut.
“Selalu lalu jalan ini untuk ke tempat kerja. Sukar mempercayai istana yang indah seperti ini terbiar sahaja. Saya berpandangan walaupun tidak dapat dibaik pulih namun seelok-eloknya persekitaran istana ini sentiasa dijaga dan dibersihkan,” katanya.
Difahamkan Istana Sepachendera juga sering menjadi tumpuan pemburu aktiviti paranormal yang mendakwa kewujudan entiti di kawasan itu.
Kepada mata yang tertarik dengan keindahan istana ini, sesuatu yang agak menyedihkan untuk melihat satu monumen agung cinta itu terbiar dan usang.
Kini, Istana Sepachendera berdiri dalam keadaan terbiar dan menunggu tangan-tangan prihatin untuk menghidupkan semula pada ketika masa masih menjadi musuh peradaban manusia yang paling kejam.
Istana Sepachendera bukan sekadar tinggalan fizikal namun helaian sejarah yang tidak pernah habis dibaca. Ia adalah jemputan untuk kembali menyelami asal-usul.
Moga suatu hari nanti, Istana Sepachendera bukan lagi bangunan kaku dan usang tetapi kembali sebagai tempat warisan bukan sekadar ditatap tetapi bernyawa semula. – UTUSAN










