BAITULMUQADDIS: Kerajaan Israel telah memuat naik satu hantaran ucapan takziah atas kematian Pope Francis di media sosial sebelum memadamkannya, tanpa memberikan sebarang penjelasan rasmi.
Namun, sebuah akhbar Israel mengaitkan tindakan itu dengan kritikan mendiang terhadap perang di Gaza.
Akaun rasmi yang disahkan, @Israel, telah berkongsi hantaran di platform media sosial X bertulis, ‘Rest in Peace, Pope Francis. May his memory be a blessing’ berserta gambar Pope Francis melawat Tembok Ratapan di Baitulmuqaddis, pada Isnin.
Akhbar The Jerusalem Post memetik kenyataan pegawai Kementerian Luar Israel yang mengatakan bahawa Pope telah mengeluarkan kenyataan menentang Israel dan hantaran media sosial itu diterbitkan secara tidak sengaja.
Pope Francis, yang meninggal dunia Isnin lalu pada usia 88 tahun pernah mencadangkan agar masyarakat antarabangsa perlu meneliti sama ada kempen ketenteraan Israel di Gaza boleh dianggap sebagai satu pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin November lalu, antara kritikan paling jelas beliau terhadap tindakan Israel dalam perang yang bermula pada Oktober 2023.
Pada Januari, Pope turut menyifatkan keadaan kemanusiaan di Gaza sebagai ‘memalukan’, yang kemudiannya mengundang kritikan daripada Ketua Rabbi Yahudi di Rom yang menuduh beliau menunjukkan ‘kemarahan terpilih’.
Israel menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai dalam kempen di Gaza dan menegaskan bahawa operasi mereka hanya menyasarkan Hamas dan kumpulan bersenjata lain.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mengetuai gabungan parti-parti nasionalis dan keagamaan sayap kanan, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kematian Pope.
Namun, Presiden Israel, Isaac Herzog, telah menyampaikan ucapan takziah kepada penganut Kristian di Tanah Suci dan di seluruh dunia, menggambarkan Pope Francis sebagai ‘seorang yang beriman teguh dan penuh belas kasihan’, pada Isnin.
Hubungan antara Gereja Katolik dan agama Yahudi menunjukkan peningkatan dalam beberapa dekad kebelakangan ini, selepas berabad permusuhan.
Sepanjang 12 tahun kepemimpinannya, Pope Francis lazimnya berhati-hati untuk tidak memihak dalam konflik, dan beliau juga lantang mengecam kebangkitan kumpulan anti-Yahudi. Beliau turut dikatakan menghubungi komuniti kecil Kristian di Gaza setiap malam semasa perang berlangsung.
Pada 2014, Pope telah melawat Tembok Ratapan iaitu tempat suci utama bagi Yahudi dan turut berdoa di tembok dibina Israel di Tebing Barat yang diduduki, yang memisahkan Baitulmuqaddis dan Bethlehem.- AGENSI










