TELAVIV: Siasatan penyiar awam Israel, KAN, mendedahkan bahawa tentera rejim sengaja memalsukan penemuan terowong di Koridor Philadelphi sempadan Gaza-Mesir, lapor agensi Anadolu.
Menurut laporan itu, struktur yang didakwa tentera Israel kononnya terowong pejuang Hamas, hanyalah sebuah terusan cetek.
Ogos lalu, tentera Israel menyiarkan gambar konon terowong di kawasan sempadan bebas aktiviti ketenteraan.
“Tiada langsung terowong, hanya terusan yang ditimbus tanah,” menurut KAN.
Pembohongan itu bertujuan membesar-besarkan kepentingan Koridor Philadelphi dan melambatkan perjanjian pertukaran tebusan, kata laporan itu.
Menurut KAN, bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengesahkan penemuan itu dengan menyatakan bahawa ia bukanlah terowong, tetapi taktik untuk menghalang persetujuan gencatan senjata.
Gallant menjelaskan struktur itu hanya sedalam satu meter, tetapi sengaja digambarkan sebagai terowong dalam dan dipromosikan kepada awam sebagai terowong penting bagi mengelak perjanjian dengan Hamas.
Kumpulan pejuang Palestin, Hamas menetapkan syarat gencatan senjata penuh dan pengunduran tentera Israel dari Gaza sebelum bersetuju dengan pertukaran tawanan namun.
Tiada maklum balas daripada tentera Israel mengenai laporan ini.
Tentera Israel menyambung serangan ke atas Gaza pada 18 Mac lalu, melanggar perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan yang dimeterai pada 19 Januari.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 51,200 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ekoran keganasan terhadap Gaza.











