‘Hanya air mata, gambar kenangan jadi peneman’

‘Hanya air mata, gambar kenangan jadi peneman’

MUHAMMAD Khairuddin Sa’ari menunjukkan satu satunya gambar arwah isteri dan anak bongsunya yang ada di simpanannya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah rumah inap desa di Sungai Udang, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kejadian kebakaran tragis di Kampung Berangan Enam, Umbai, pada 13 Februari lalu meninggalkan kesan mendalam buat Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35.

Kejadian itu meragut nyawa isteri dan empat anaknya dan hari yang terus berlalu sejak itu hanya meninggalkan rindu tiada penghujung buat dirinya.

“Kini hanya air mata yang menjadi peneman, setiap kali sedih saya berdoa memohon ketenangan daripada Allah SWT.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak kejadian, saya sering bermimpi berjumpa mereka. Dalam satu mimpi, mereka hadir dalam pakaian putih bersih, anak kecil saya bermain-main dalam keadaan gembira. Saya terjaga sambil menangis teresak-esak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah rumah inap desa di Sungai Udang di sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 1 pagi itu, lima beranak termasuk isteri Khairuddin, Laila Fathinah Mustapa, 37, yang sedang mengandung anak kelima, serta empat anak mereka, Nur Damia Batrisyia, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6; dan Izz Danish Fathi, 4, rentung selepas kediaman mereka musnah dijilat api.

Khairuddin menambah, Aidilfitri tahun ini tentu sudah tidak lagi sama seperti tahun sebelumnya.

Dia juga memberitahu selepas ini merancang untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur demi masa depan anaknya yang masih ada, Nur Dariah Azzahra, 8, yang kini dijaga ibu mentuanya di Puchong.

“Bila tengok makanan banyak, saya menangis teringatkan anak-anak. Kalau mereka ada, kenyanglah perut mereka. Sekarang makanan jadi pahit, tidak mampu saya telan apabila ter­ingatkan mereka.

“Setiap sudut di Melaka membawa kenangan manis bersama keluarga yang kini hanya tinggal dalam ingatan.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan, termasuk ahli keluarga yang menjadi kekuatan dan pendamping setia dalam tempoh getir ini. Hajat arwah isteri memang mahukan kehidupan lebih baik buat keluarga kami. Saya akan teruskan usaha demi memenuhi impian arwah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN