Doktor kekal dipenjara 16 tahun kerana rogol 10 pesakit

Doktor kekal dipenjara 16 tahun kerana rogol 10 pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Mahkamah Agung Korea Selatan mengekalkan hukuman penjara 16 tahun terhadap seorang doktor yang memberikan preskripsi dadah secara haram dan melakukan serangan seksual terhadap beberapa wanita ketika mereka di bawah pengaruh bius.

Mahkamah mengekalkan keputusan mahkamah rendah yang menjatuhkan hukuman 16 tahun penjara dan denda 5 juta won (RM16,500) ke atas Yeom kerana melanggar Akta Kawalan Narkotik dan merogol mangsa yang tidak sedarkan diri.

Kesalahan Yeom dalam memberikan preskripsi ubat terbongkar semasa siasatan kemalangan kereta pada Ogos 2023, melibatkan seorang pemandu Rolls-Royce bernama Shin.

Yeom didapati memberikan ubat penenang seperti propofol, midazolam, dan ketamin kepada Shin melebihi keperluan perubatan.

Shin kemudiannya melanggar dan membunuh seorang pejalan kaki ketika memandu di bawah pengaruh dadah tersebut.

Lesen perubatan Yeom digantung semasa siasatan, tetapi dia terus menjalankan perubatan sehingga awal Oktober 2023 dengan masih memberikan propofol dan melakukan prosedur lain.

Yeom kemudian turut didakwa atas tuduhan serangan seksual terhadap kira-kira 10 pesakit wanita yang tidak sedarkan diri dan mengambil ratusan gambar tubuh mereka secara haram antara Januari 2022 dan Oktober 2023.

“Kesalahan ini menyebabkan kemudaratan sosial yang serius dan memerlukan hukuman yang berat. Hukuman berat tidak dapat dielakkan,” kata mahkamah rendah dalam keputusannya. Mahkamah Agung pula tidak menemui alasan untuk membatalkan keputusan tersebut.

Yeom pada mulanya dihukum 17 tahun penjara dan denda 5 juta won (RM16,500) pada Jun 2024 dan mahkamah ketika itu menyifatkan dia mempunyai risiko moral yang teruk sebagai seorang profesional perubatan.

Hukuman kemudian dikurangkan kepada 16 tahun pada Januari lalu selepas dia mengaku bersalah dan membayar pampasan sebanyak 76 juta won (RM215,841).

Sementara itu, Shin, lelaki yang membunuh pejalan kaki ketika memandu di bawah pengaruh dadah yang diberikan Yeom, pada mulanya dihukum 20 tahun penjara, namun hukuman itu kemudian dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN