BOGOTA: Kementerian Kesihatan Colombia mengisytiharkan kecemasan kesihatan di seluruh negara berikutan ‘peredaran aktif’ terhadap kes demam kuning.
Sejak September 2024, terdapat 75 kes demam kuning direkodkan dan 34 kematian akibat penyakit itu, menurut kementerian.
Sembilan daripada 32 wilayah negara itu melaporkan sekurang-kurangnya satu kes demam kuning.
Kebanyakan kes dikesan di kawasan luar bandar di wilayah Tolima dan Meta, Lembangan Amazon serta kawasan Sungai Magdalene.
Menurut pejabat presiden, kes juga dilaporkan di kawasan yang sebelum ini tidak mempunyai sejarah kehadiran virus tersebut seperti wilayah Caldas, yang terkenal dengan tanaman kopi.
Beberapa kawasan berada dalam keadaan berjaga-jaga sebelum amaran diperluas ke seluruh negara, berikutan jangkaan lonjakan perjalanan sempena cuti hujung minggu Paskah.
Perjalanan ke beberapa zon yang dianggap berpotensi juga akan dihadkan di bawah kecemasan kesihatan.
Demam kuning adalah penyakit yang berjangkit kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti.
Sebahagian besar individu yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala, namun ada juga mengalami demam, sakit otot, sakit kepala, hilang selera makan, loya atau muntah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam kebanyakan kes, gejala tersebut akan reda dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Namun WHO berkata, sesetengah pesakit memasuki fasa kedua, di mana mereka mengalami jaundis dan sakit perut, bahkan separuh daripadanya meninggal dunia dalam tempoh tujuh hingga 10 hari.
Berikutan tiada rawatan khusus dengan ubat antivirus bagi demam kuning, WHO menasihatkan agar pesakit berehat, kekal terhidrasi dan mendapatkan rawatan perubatan sekiranya perlu.– CNN










