BN menang, usaha PN cetus sentimen Melayu gagal

BN menang, usaha PN cetus sentimen Melayu gagal

KEMENANGAN BN di Ayer Kuning membuktikan bahawa naratif kandang babi dibawa oleh PN untuk mencetuskan sentimen orang Melayu menemui kegagalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning membuktikan bahawa naratif kandang babi dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) untuk mencetuskan sentimen orang Melayu gagal.

Penganalisis politik, Mujibu Abd. Muis berkata, kemena­ngan selesa Dr. Mohamad Yusri Bakir di Ayer Kuning sudah dijangka memandangkan BN turut memperoleh sokongan daripada penyokong Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, PN membawa naratif kandang babi di dalam PRK Ayer Kuning bagi meningkatkan sentimen orang Melayu dan Islam yang sangat sensitif dengan isu tersebut.

Namun, jelasnya, isu tersebut berjaya ditangani dengan baik oleh BN dengan memberikan naratif balas yang baharu.

“Naratif kadang babi oleh PN gagal menarik perhatian orang Melayu dan Islam sepenuhnya, memandangkan counter naratif kemas dilakukan oleh BN dengan mengaitkan bekas Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak (Razman Zakaria) dan projek (kandang babi) itu berlaku sewaktu Pas menjadi kerajaan negeri.

“Secara umum, saya nampak isu itu tidak begitu kuat untuk memancing perhatian. Jika kita lihat setting PRK, ia lebih banyak kepada isu-isu lokal yang menjadi tumpuan asas kepada pengundi terutama pembangunan, jalan raya, ternakan dan lampu jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu selepas Mohamad Yusri memperoleh 11,065 undi dengan kelebihan majoriti 5,006 undi.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu berjaya menewaskan dua pencabarnya iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, daripada PN dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Mujibu berkata, PRK Ayer Kuning merupakan satu lagi testimoni kepada PN bahawa kebergantungan terhadap un­di orang Melayu terutama di kawasan-kawasan demografi campuran memerlukan taktik baharu.

“Walaupun BN menang, un­di orang Cina masih lagi tidak kepada calonnya kerana kumpulan pengundi itu masih memilih untuk tidak keluar mengundi dan orang Melayu berada di luar kawasan juga tidak balik mengundi. Jadi ini mungkin antara faktor undi orang Melayu pada PN jatuh.

“Jika kita lihat pada PSM yang memperoleh jumlah undian dari 500 undi kepada lebih 1,106 undi, peningkatan itu adalah jumlah undi protes yang tidak mahu diberikan kepada PN dan BN,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, BN atau UMNO terutama­nya kini dilihat lebih terurus kerana tidak ada lagi pertelingkahan dalaman besar-besaran.

“Bagi saya dalam hal ini, ada banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh UMNO, sebab saya lihat beberapa siri PRK sebelum ini, kebanyakan undi yang diterima adalah undi asas mereka sendiri dan ditambah dengan undi PH.

“Untuk jangka masa panjang, kita perlu ingat bahawa dalam pilihan raya bahawa pertambahan pengundi disebabkan undi automatik dan julat umur antara pengundi itu sudah semakin jauh. Seperti di Ayer Kuning, pengundi muda sudah hampir separuh dari jumlah keseluruhan.

“Pengundi muda ini agak kritikal, jika kita lihat pada sentimen mereka, kita akan dapati bahawa UMNO masih belum pulih dan mereka masih skeptikal pada parti tersebut. Jadi untuk jangka masa panjang, UMNO perlu perbaiki dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN