Beri peminjam terbeban hutang diskaun khas - Utusan Malaysia

Beri peminjam terbeban hutang diskaun khas

KERATAN muka hadapan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi kerajaan dan syarikat penyedia pinjaman disaran memberikan diskaun khas kepada peminjam yang terbeban dengan hutang sempena perayaan Aidilfitri bagi me­ngurangkan tekanan kewangan rakyat.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, langkah tersebut pen­ting kerana ramai peminjam, khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah, bakal berdepan kesukaran melangsaikan hutang selepas musim perayaan.

“Sesi persekolahan juga akan dibuka semula tidak lama lagi, dan ini menambah keperluan perbelanjaan keluarga. Kita tidak mahu peminjam terus dihimpit kesempitan kewangan akibat hutang yang menimbun,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mendapatkan data terperinci peminjam.

Katanya, ia bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu penjawat awam dan pekerja swasta yang berdepan masalah hutang selepas perayaan.

Semalam akhbar ini me­laporkan kira-kira 50 peratus dari­pada lebih sembilan juta isi rumah berpendapatan rendah bakal berdepan dengan tanggungan pinjaman selepas Hari Raya Aidilfitri berikutan per­belanjaan berlebihan.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Generasi Baharu Negeri Sembilan, Datuk Zainol Ishak berkata, trend berhutang sempena Aidilfitri sukar dielakkan seiring dengan keperluan semasa.

Katanya, jika dahulu ma­syarakat bergotong-royong membuat kuih raya sendiri, kini segalanya dibeli siap dan dengan harga sebalang kuih raya boleh mencecah RM20 hingga RM30, ia pasti menambah beban perbelanjaan.

“Keterdesakan hidup akibat pendapatan rendah menjadi faktor utama rakyat berhutang, sama ada melalui pinjaman rasmi atau tidak.

“Ramai yang terpaksa membuat pinjaman peribadi kerana keperluan seperti sewa rumah, ansuran kereta dan barangan keperluan asas. Apabila kos sara hidup semakin tinggi tetapi gaji tidak meningkat ramai memilih jalan mudah dengan meminjam,” katanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat khususnya yang terbeban hutang mencari pendapatan sampingan sebagai alternatif dalam menampung perbelanjaan.

“Selain bantuan daripada kerajaan dan institusi kewa­ngan masyarakat perlu lebih bijak mengurus kewangan agar tidak terus terperangkap dalam beban hutang yang berpanjangan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya