JOHOR BAHRU: Hujan lebat hampir dua jam sejak pukul 4.30 petang tadi mengakibatkan banjir kilat setinggi 0.5 meter di Lebuhraya Pasir Gudang, berhampiran persimpangan bertingkat Taman Rinting, di sini.
Bah itu menyebabkan kesesakan lalu lintas arah ke Permas Jaya hampir satu kilometer apabila banyak kenderaan ringan terpaksa berhenti di tepi jalan dan sebahagiannya menukar haluan ke Taman Rinting.
Utusan Malaysia difahamkan, kawasan berkenaan sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat berikutan saluran air yang menuju ke longkang berdekatan tersumbat dan tidak diselenggara dengan baik.
Beberapa pengguna jalan raya yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang, terutamanya ketika waktu puncak.
Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Jai meminta pihak yang berkenaan mengambil tindakan segera demi keselamatan orang ramai.
Sehingga pukul 6.30 petang, air masih bertakung di beberapa laluan dan aliran kenderaan semakin meningkat sehingga berlaku kesesakan. – UTUSAN