Apam balik D'Dungun bertahan lebih 43 tahun, kini 39 perisa

Apam balik D’Dungun bertahan lebih 43 tahun, kini 39 perisa

NORUL Iman Norul Hadi menunjukan antara pelbagai perisa apam balik yang dijual di gerainya di Pasar Besar Dungun, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Rasa apam balik yang enak, manis dan kekal lembut meskipun sudah beberapa jam dibeli membuatkan Apam Balik D’Dungun yang diusahakan sebuah keluarga di Pasar Besar Dungun, di sini, mampu bertahan lebih 43 tahun.

Malah, pengusaha apam balik itu melakukan inovasi tersendiri dengan mengubah resepi asal apam balik dengan menjual 39 jenis perisa, seiring dengan permintaan pelanggan.

Norul Iman Norul Hadi, 30, berkata, perniagaan itu dimulakan bapanya, Norul Hadi Norul Hadi Che Jusoh, 65, dan ibunya, Ramlah Jusoh, 60, sejak 1982 untuk menyara lima adik beradiknya.

“Perniagaan ini saya teruskan dengan dibantu adik, Norul Irfan Hakimi, 20, sementara ibu dan ayah masih memproses adunan tepung di rumah.

“Alhamdulillah, apam balik kami sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan dan kami dapat menjual sehingga 500 keping apam balik sehari. Jualan boleh mencecah lebih 1,500 keping apam balik ketika hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya di gerainya di Pasar Besar Dungun, semalam.

Norul Iman berkata, apam balik berkenan dijual dari harga 0.70 sen sehingga RM2.50 sen sekeping mengikut perisa.

“Sebenarnya, idea untuk melakukan inovasi perisa apam balik ini datang dari pelanggan sendiri. Pada awalnya, kami menjual apam balik dengan perisa kacang, jagung, mentega dan gula, namun ada pelanggan yang minta kami buatkan perisa tertentu. Apabila dicuba, rasanya enak.

“Antara perisa lain yang dijual ialah apam balik telur, kaya, coklat, nestum, nutella dan oreo yang mana perisa ini boleh dicampur mengikut kegemaran pelanggan. Apam balik yang kami jual ini kekal lembut walaupun lebih enam jam dibeli pelanggan.

“Kami turut menawarkan khidmat katering untuk majlis perkahwinan dan rumah terbuka. Setakat ini kami ada dua cawangan di Dungun ini dan Insya-Allah bercadang meluaskan lagi perniagaan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN