JOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru apabila tewas pada pemilihan parti, hari ini.
Berdasarkan laman sesawang keputusan Pemilihan PKR 2025, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru hanya mendapat 587 undi sahaja, manakala lawannya, Mohamad Taufiq Ismail yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor memperoleh 709 undi.
Keputusan pemilihan PKR 2025 itu dimuat naik dalam laman sesawang https://pemilihan.keadilanrakyat.org/ sebentar tadi.
Borang keputusan itu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Berdasarkan borang tersebut, daripada jumlah 1,788 yang layak mengundi, sebanyak 1,296 kertas undi yang dikeluarkan.
Jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Johor Bahru dimenangi oleh Zulkifli Abdullah Zawawi dengan 696 undi, menewaskan Mohd. Sallrh Ahmad yang memperoleh 600 undi. – UTUSAN