SEPANG: Kumpulan pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia termasuk termasuk 31 petugas tiba di Madinah, Arab Saudi, semalam.
Jemaah tersebut yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH8050 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang ke Madinah, berlepas kira-kira pukul 4.05 pagi.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammed Bin Abdulaziz, Madinah pada pukul 7.50 pagi waktu tempatan.
Satu majlis meriah diadakan bagi menyambut ketibaan kumpulan jemaah haji tersebut diadakan di Hotel Emaar Royal.
Majlis pelepasan jemaah pula disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Mohd. Na’im ketika berkata, beliau mengingatkan semua jemaah haji Malaysia musim ini untuk mengekalkan tradisi dan imej baik negara di mata dunia.
“Semua jemaah haji perlu mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang Kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi terutama Kementerian Haji dan Umrah kerana meneruskan inisiatif ‘Makkah Route’ buat tahun ketujuh pelaksanaannya.
Di samping itu, Malaysia juga terpilih sebagai negara pertama di dunia yang mengagihkan kad Nusuk kepada para jemaah haji di dalam negara sendiri untuk musim haji kali ini.
“Projek ini adalah hasil kerjasama tiga penjuru di antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, TH dan Syarikat AlMasiah iaitu sebuah syarikat pengendali jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
“Inisiatif ini adalah bukti kerjasama akrab di antara dua negara ini dalam usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji, membolehkan persiapan haji yang teratur, mengelakkan kesesakan semasa ketibaan di Arab Saudi dan menjamin kelancaran perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia,” katanya.-UTUSAN.