270 rumah selamat didiami semula - Utusan Malaysia

270 rumah selamat didiami semula

HUSSEIN Omar Khan pada sidang akhbar di Taman Putra Harmoni,Putra Heights, Subang Jaya, semalam.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Sebanyak 270 buah rumah yang terlibat dalam insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini minggu lalu disahkan selamat untuk didiami semula.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rumah-rumah tersebut merupakan sebahagian daripada 437 buah kediaman yang berada dalam radius 325 meter dari pusat letupan atau ground zero yang telah selesai dinilai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Daripada 571 buah kenderaan yang diperiksa, sebanyak 88 buah mengalami kerosakan melebihi 50 peratus, 332 buah rosak kurang daripada 50 peratus, manakala 151 buah lagi tidak terjejas,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Mengulas aspek keselamatan kawasan sekitar, katanya, seramai 120 anggota polis ditugaskan berkawal 24 jam melibatkan semua laluan keluar masuk kawasan perumahan dan kampung sekitar.

“Sama ada daripada tugas am mahupun Pasukan Gerakan Am (PGA), semua terlibat dalam kawalan menyeluruh. Jika ada kehilangan harta, orang ramai boleh buat laporan di balai berhampiran atau di balai polis bergerak di PPS,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, tiada laporan kecurian diterima namun orang awam digalakkan untuk tampil membuat aduan jika mengalami kehilangan barang atau harta benda di balai polis berhampiran atau di balai polis bergerak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, Hussein berkata, proses siasatan insiden kebakaran paip di kawasan kerja-kerja pembinaan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights kini berjalan lebih pantas apabila dua tindakan terbaharu telah diambil sejak semalam.

Beliau berkata, tindakan pertama ialah penambahan dua jentera yang terlibat dalam kerja-kerja mengorek manakala tindakan kedua melibatkan pelaksanaan operasi 24 jam di lokasi kejadian.

“Mulai semalam, kerja-kerja pengoperasian dijalankan tanpa henti dengan penglibatan agensi-agensi teknikal seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Petronas,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya