26 terbunuh, pengganas serang pelancong di Kashmir

26 terbunuh, pengganas serang pelancong di Kashmir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRINAGAR: Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh di Kashmir apabila penjenayah bersenjata melepaskan tembakan ke arah pelancong, menurut sumber keselamatan kepada AFP semalam.

Ini merupakan serangan paling dahsyat terhadap orang awam di wilayah bergolak yang ditadbir India sejak 2000.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengutuk tindakan kejam di Pahalgam, sebuah destinasi percutian musim panas terletak kira-kira 90 kilometer dari bandar utama Srinagar, sambil berjanji bahawa penyerang akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Pembunuhan itu berlaku sehari selepas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, memulakan lawatan peribadi selama empat hari ke India.

Seorang pemandu pelancong di Pahalgam, Waheed memberitahu AFP bahawa beliau tiba di lokasi selepas mendengar tembakan dan membantu mengangkut sebahagian daripada yang cedera menggunakan kuda.

Waheed berkata, dia menyaksikan beberapa lelaki terbaring mati di tanah manakala seorang saksi yang enggan dikenali pula menyatakan bahawa penyerang jelas mengelak daripada mencederakan wanita.

Sumber keselamatan menyatakan, antara mangsa yang ditembak termasuk pelancong asing, namun tiada pengesahan rasmi dikeluarkan manakala beberapa media India melaporkan bahawa jumlah kematian meningkat kepada 26 orang, berbanding 24 seperti yang disampaikan oleh seorang pegawai polis tempatan kepada AFP lebih awal.

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab, namun pemberontak di wilayah majoriti Islam itu telah melancarkan pemberontakan sejak 1989.

Mereka menuntut kemerdekaan atau penyatuan dengan Pakistan, yang mengawal sebahagian kecil wilayah Kashmir dan juga mendakwa hak ke atas seluruh kawasan itu.

Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah, menyatakan bahawa serangan ini jauh lebih besar berbanding kejadian sebelum ini dan mengutuk serangan tersebut.

“Serangan ke atas pelancong ini adalah amat keji. Pelaku serangan ini adalah binatang, tidak berperikemanusiaan, dan patut dipandang hina,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Serangan terburuk dalam tahun-tahun kebelakangan berlaku di Pulwama pada Februari 2019, apabila pemberontak melanggar konvoi polis dengan sebuah kereta yang dipenuhi bahan letupan, mengorbankan 40 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 35 yang lain.

Serangan paling dahsyat terhadap orang awam sebelum ini berlaku pada Mac 2000, di mana 36 orang India terbunuh, tepat sebelum lawatan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Bill Clinton.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×