Trump ancam serangan lebih dahsyat terhadap Yemen

Trump ancam serangan lebih dahsyat terhadap Yemen

KEPULAN asap hitam memenuhi ruang udara ketika serangan AS ke atas ibu kota Yemen yang dikuasai Houthi di bandar Sanaa.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan berskala besar terhadap Houthi di Yemen, sekutu dengan Iran, berikutan serangan kumpulan itu terhadap perkapalan di Laut Merah.

Serangan ketenteraan pertama yang dilancarkan pentadbiran Presiden, Donald Trump itu dilaporkan sudah membunuh sekurang-kurangnya 31 orang dan dikhuatiri berlanjutan selama beberapa minggu.

Trump turut memberi amaran kepada Iran untuk segera menghentikan sokongan kepada kumpulan itu selepas meneruskan operasi ketenteraan terbesar AS di Asia Barat sejak beliau memegang jawatan pada Januari.

Pegawai AS memaklumkan Trump kini memberi kuasa untuk pendekatan yang lebih agresif terhadap kumpulan itu.
Pusat Pemerintahan AS (CENTCOM) yang mengawal operasi tentera di Asia Barat menyatakan serangan itu adalah permulaan operasi berskala besar di seluruh Yemen.

Ia berlaku ketika AS meningkatkan tekanan sekatan ke atas Teheran selepas cuba membawa negara itu ke meja rundingan mengenai program nuklearnya.

“Kepada semua pengganas Houthi, Masa anda sudah tamat dan serangan anda mesti terhenti di sini. Jika tidak, anda akan berdepan hujan neraka yang belum pernah anda lihat sebelum ini!,” jelas Trump di platform Truth Socialnya.

Jurucakap kementerian kesihatan yang dikendalikan Houthi, Anees al-Asbahi berkata, sekurang-kurangnya 31 terbunuh dan 101 lagi cedera dalam serangan AS, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

BEDIL SANAA

Biro politik Houthi menyifatkan serangan itu sebagai jenayah perang dan menegaskan angkatan bersenjata di Yemen bersedia sepenuhnya untuk bertindak balas terhadap serangan itu.

Penduduk di Sanaa berkata, serangan itu melanda sebuah bangunan kubu kuat Houthi.

Dalam satu kenyataan, pihak Houthi menuduh AS dan United Kingdom (UK) melakukan serangan kejam yang menyasarkan kawasan kediaman di ibu negara Sanaa.

Bagaimanapun, difahamkan UK tidak terlibat secara langsung dalam serangan terhadap sasaran Houthi, tetapi memberikan sokongan rutin dalam bentuk pengisian bahan api untuk pesawat AS.

“Letupan itu sangat kuat dan menggegarkan kawasan kejiranan seperti gempa bumi. Ia menakutkan wanita dan kanak-kanak yang bertempiaran lari,” kata salah seorang penduduk, Abdullah Yahia kepada Reuters.

Beberapa gambar tular menunjukkan kepulan asap hitam tebal di kawasan lapangan terbang Sanaa, yang turut menempatkan fasiliti ketenteraan.
Tapak tentera Houthi di bandar Taiz di barat daya Yemen antara yang menjadi sasaran AS, lapor dua saksi di kawasan itu.

Lapor TV Al-Masirah, AS juga melancarkan serangan ke atas stesen janakuasa di bandar Dahyan di Saada hingga menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Bandar Dahyan terkenal sebagai lokasi pemimpin penuh teka-teki Houthi, Abdul Malik al-Houthi mengadakan perbincangan dan bertemu ahli kumpulannya.

SERANGAN TERBESAR

Kumpulan pemberontak Houthi yang menguasai sebahagian besar Yemen sejak sedekad lalu, melancarkan berpuluh-puluh serangan ke atas kapal-kapal di luar pantainya sejak November 2023 sebagai tindak balas terhadap keganasan di Gaza.

Kumpulan bersenjata itu mengganggu perdagangan global dan memaksa tentera AS menjalankan operasi besar-besaran untuk memintas peluru berpandu dan dron.

Jurucakap Pentagon berkata, Houthi telah menyerang kapal perang AS sebanyak 174 kali dan kapal komersial sebanyak 145 kali sejak 2023.

Houthi berkata, serangan itu sebagai solidariti dengan rakyat Palestin berhubung perang Israel di Gaza dengan kumpulan pejuang Hamas.

Dengan sekutu Iran lain seperti Hamas dan Hezbollah yang semakin lemah serta kejatuhan Bashar al-Assad di Syria, Houthi kekal bertahan dan terus melancarkan serangan yang mengganggu laluan perkapalan global, memaksa syarikat penghantaran mengubah laluan ke sekitar selatan Afrika yang lebih jauh dan mahal.

Serangan pada Sabtu, sebahagiannya dilancarkan oleh pesawat tempur dari kapal pengangkut pesawat Harry S. Truman yang beroperasi di Laut Merah, menurut pegawai AS.

“Serangan Houthi ke atas kapal dan pesawat AS serta tentera kami tidak akan dibiarkan dan Iran, sebagai penyokong mereka, telah diberi amaran. Kebebasan pelayaran akan dipulihkan,” kata Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth di platform X.

Trump turut memberi amaran akan melancarkan tindakan ketenteraan yang lebih dahsyat terhadap Yemen.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan serangan Houthi ke atas kapal AS. Kami akan menggunakan kekuatan maut yang luar biasa sehingga objektif kami tercapai,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi mengecam tindakan AS, menegaskan Washington tidak berhak menentukan dasar luar Iran.

“Hentikan sokongan kepada pembunuhan beramai-ramai dan keganasan Israel. Berhenti membunuh rakyat Yemen,” tulisnya di laman X awal pagi semalam.

Pada Selasa, Houthi mengumumkan akan menyambung semula serangan ke atas kapal-kapal Israel yang melalui Laut Merah, Laut Arab, Selat Bab al-Mandab dan Teluk Aden, menamatkan tempoh ketenangan sejak gencatan senjata di Gaza bermula Januari lalu.

Serangan AS berlaku hanya beberapa hari selepas surat dari Trump kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dihantar untuk membuka ruang rundingan berhubung program nuklear Iran.

Namun, Khamenei menolak sebarang rundingan dengan AS pada Rabu dan menafikan mahu membangunkan senjata nuklear.

Bagaimanapun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberi amaran bahawa Teheran sedang mempercepat pengayaan uranium sehingga hampir ke tahap 90 peratus yang sesuai untuk senjata nuklear.

Negara Barat menegaskan  tiada keperluan untuk pengayaan setinggi itu dalam mana-mana program nuklear awam dan tiada negara lain pernah melakukannya tanpa membina bom nuklear walaupun Iran tetap mempertahankannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×