HULU TERENGGANU: Ketibaan Syawal membuka lembaran pendapatan sampingan bagi seorang ibu tunggal di Kampung Padang Setengge, di sini yang mengusahakan ketupat daun palas serta tapai pulut sejak 10 tahun lalu.
Noriani Mohd. Nawi, 50, berkata, setiap kali menjelang raya dan sepanjang Syawal, cuti hujung minggu digunakannya untuk meredah belukar serta pinggir hutan sendirian bagi mencari daun palas serta daun getah.
Katanya, kebiasaannya dia menerima lebih 10,000 biji tempahan ketupat serta lebih 5,000 biji tapai setiap kali raya untuk juadah di pagi lebaran serta majlis-majlis rumah terbuka sepanjang Syawal.
“Bermula awal Ramadan, apabila hujung minggu saya cari daun palas serta daun getah. Ada ketikanya terdengar bunyi khinzir selain jumpa kesan cakaran beruang pada pokok namun saya hanya tawakal.
“Selepas pulang dari kerja sehingga malam pula mula siapkan tempahan ketupat dan memasukannya ke dalam peti ais terlebih dahulu untuk sejuk serta mengukusnya semula sebelum diberikan kepada pelanggan.
“Semakin hampir Aidilfitri, bersengkang mata demi menyiapkan ketupat dan tapai pelanggan dan memastikan segala tempahan dapat disiapkan seperti dijadualkan,” katanya yang merupakan seorang guru tadika.
Ibu kepada lapan anak berusia antara 10 tahun hingga 26 tahun itu berkata, kekangan masa serta kudrat menyebabkan ada ketikanya dia terpaksa mengehadkan pengeluaran dan turut dibantu anak-anaknya untuk proses membungkus ketupat serta tapai.-UTUSAN.