GAZA: Tentera Israel hari ini mengaku menembak ambulans di Gaza, konon mengenal pasti kenderaan tersebut sebagai ‘mencurigakan’.
Kumpulan pejuang Hamas mengutuk tindakan tersebut sebagai jenayah perang, kerana mengakibatkan sekurang-kurangnya satu kematian.
Serangan yang berlaku pada Ahad lalu di kejiranan Tal al-Sultan, bandar Rafah di selatan Gaza, berhampiran sempadan Mesir dua hari selepas tentera udara Israel menyambung serangan bom ke Gaza selepas gencatan senjata hampir dua bulan.
Menurut kenyataan tentera Israel kepada AFP, pasukan rejim melepaskan tembakan ke arah kenderaan Hamas dan berjaya membunuh beberapa pejuang.
“Beberapa minit kemudian, kenderaan tambahan bergerak secara mencurigakan ke arah pasukan kami. Pasukan kami bertindak balas dengan menembak kenderaan tersebut dan berjaya membunuh beberapa pengganas Hamas dan Jihad Islam,” kata kenyataan itu.
Tentera Israel tidak menyatakan sama ada terdapat tembakan balas dari kenderaan tersebut, sebaliknya mengaku siasatan awal mendapati beberapa kenderaan mencurigakan itu adalah ambulans dan kenderaan bomba.
Tentera Israel turut mendakwa penggunaan berulang ambulans oleh organisasi pengganas di Gaza untuk tujuan keganasan.
Sehari selepas kejadian, Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan terputus hubungan dengan pasukan penyelamat yang dihantar ke Tal al-Sultan untuk membantu mangsa yang terkorban.
Pada Jumaat lalu, agensi tersebut mengesahkan penemuan mayat ketua pasukan penyelamat serta kenderaan mereka iaitu sebuah ambulans dan kenderaan bomba yang musnah. Sebuah ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin juga dilaporkan hancur menjadi besi buruk.
Ahli biro politik Hamas, Basem Naim, menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai secara sengaja dan kejam terhadap pasukan Pertahanan Awam dan Bulan Sabit Merah Palestin di Rafah.
“Pembunuhan bersasar terhadap pasukan penyelamat yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap Konvensyen Geneva dan jenayah perang,” katanya.
Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher berkata, sejak 18 Mac, serangan udara Israel di kawasan penduduk padat telah membunuh ratusan kanak-kanak dan orang awam.
“Pesakit dibunuh di katil hospital, ambulans ditembak, pasukan penyelamat pertama dibunuh.
“Jika prinsip asas undang-undang kemanusiaan masih dihormati, masyarakat antarabangsa mesti bertindak sekarang untuk mempertahankannya,” katanya dalam kenyataan.










