‘Susahnya hendak tuntut wang sendiri’

‘Susahnya hendak tuntut wang sendiri’

DARI kiri: OTHMAN SALLEH, ROSLEE AMAN dan SYED ALWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Susahnya hendak tuntut wang sendiri, macam-macam syarat yang merumitkan!”

Itulah keluhan rata-rata pemohon Wang Tak Dituntut (WTD) dalam usaha mendapatkan kembali wang milik mereka ataupun milik ahli waris.

Antara kesukaran yang dihadapi ialah dikenakan syarat rumit, proses memerlukan banyak dokumen dan masa panjang, serta laman web permohonan yang kerap tergendala dan di bawah penyelenggaraan.

Seorang pemohon WTD yang juga pesara, Othman Salleh, 82, berkata, permohonan pertamanya ditolak selepas lebih sebulan dan mengambil masa lebih seminggu untuk diluluskan kembali.

“Bukan mudah nak tuntut duit sendiri. Permohonan saya ditolak hanya kerana buku bank saya sudah lama dan bertulis tangan. Hampir dua bulan barulah saya dapat merasa duit yang tidak dituntut ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati segelintir rakyat Malaysia mengakui mempunyai WTD tetapi ada yang memilih untuk tidak membuat tuntutan kerana proses yang memerlukan banyak dokumen dan masa panjang serta merumitkan.

Seorang lagi pemohon, Roslee Aman, 59, berkata, dia rasa tidak berbaloi untuk mengharungi proses tuntutan yang panjang dan memakan masa.

“Saya ada wang dalam WTD tetapi jumlahnya kecil. Bila fikir kena isi borang, cari dokumen, kemudian pergi ke kaunter, saya rasa lebih baik biarkan sahaja,” katanya.

Bagi Syed Alwi, 32, pula berkata, laman web permohonan yang kerap tergendala dan di bawah penyelenggaraan juga menyukarkan proses awal permohonan yang ingin dilakukan.

“Sistem untuk menuntut duit sendiri sepatutnya mudah sahaja. Ini tidak, setiap kali buka laman web tersebut mesti under maintenance atau crash,” tambahnya.

Nasib yang sama dialami oleh Zarina Sarji, 49, beliau berkata, proses permohonan sahaja telah membuang masa dan tenaga beliau kerana langkah dan syarat-syarat yang rumit.

“Saya rasa sudah jadi satu kebiasaan perlu ambil masa yang lama berurusan dengan pejabat kerajaan lebih-lebih lagi dalam tuntutan pembayaran balik wang,” katanya.

Sementara itu, Fauzi Ramli, 54, peniaga di Cyberjaya berharap kerajaan membuka lebih banyak kaunter permohonan di setiap daerah serta meningkatkan kualiti sistem permohonan agar lebih mesra pengguna.

“Jumlah RM12.7 billion itu amatlah besar. Jika dapat ‘dikembalikan’ kepada pemiliknya, pasti ia akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat,” tambahnya.

Dalam pada itu, sebilangan rakyat Malaysia berharap agar kerajaan menetapkan had masa tertentu bagi menuntut WTD dan sekiranya wang itu tidak dituntut dalam jangka masa tersebut, wang itu boleh digunakan untuk meningkatkan kemudahan awam serta pembangunan negara.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, jumlah wang yang tidak dituntut berjumlah RM12.7 bilion direkodkan sehingga 31 Januari lalu oleh Kementerian Kewangan.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pelbagai inisiatif dilakukan oleh pihak Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) bagi menggalakkan rakyat Malaysia me­nuntut wang tersebut.

“Sehingga tahun lalu, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran diadakan di seluruh negara untuk memaklumkan orang ramai tentang wang berkenaan dan kaedah me­nuntutnya,” katanya di Parlimen, 5 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN